SUBSCRIBE

Ahad, Februari 19, 2017

GEMUK DURJANA 23

Hidup aku berlangsung seperti biasa sejak 12 hari Nisa tinggalkan aku. Tiada yang berubah. Rutin hidup aku, aku jalankan seperti biasa. Sesekali...
Sesekali?
Okey. Selalu saja aku teringat pada Nisa. Ingatan itu umpama beban pula rasanya. Betul-betul menerbitkan rasa rindu dihati. Maklumlah, dia sentiasa ada dimana saja aku berada kecuali dirumah. Makanya dirumah, aku akan tidak rindukan dia.
Tak rindu dekat rumah?
Okey. Sekali lagi pembohongan bila selendang Nisa sentiasa ada temani aku. Macam mana aku tak rindukan dia? Menyesal pula ambil benda ni. Tapi nak pulangkan, sayang pula. Nanti aku terlalu rindu kan dia pula.
Itu baru cerita selendang, belum lagi cerita buku scrap dia yang dah serupa buku kisah dongeng yang perlu aku baca setiap malam sebelum tidur. Kalau tidak, mata aku duk ngelip-ngelip ingat kat dia. Pakaiannya didalam keretaku juga aku bawa naik keatas dan aku gantungkan kemas didalam almari bajuku.
Aku memang super angau.
Aku pandang meja Nisa. Terasa macam dia ada saja disitu. Kalau dia ada, mesti sekarang ni tengah bertekak dengan dia agaknya. Sememangnya bila masuk bab kerja, Nisa ni suka bagi idea. Dan bila dia bagi idea, aku kena ikut. Kalau aku membantah, pasti dia akan pertahankan idea dia tu. Sebab tu juga aku suka bekerja dengan Nisa. Walaupun dia sekadar PA tapi dia adalah orang yang paling banyak menyumbang untuk aku menguruskan syarikat denagn lebih baik dan dia juga merupakan mata-mata aku dalam pejabat ini.
Arh!!! Aku rindukan Nisa.
Rasa nak jerit saja saat ini. Nak bagitahu satu dunia yang aku cintakan Nisa sepenuh hatiku dan kini aku sangat rindukan dia. Aku rasa nak minta bantuan satu dunia untuk carikan Nisa untuk aku.
Telefon bimbit menjerit minta dijawab. Aku lihat jam sebelum melihat gerangan yang membuat panggilan. Pukul 11 pagi. Mami! Cepat saja aku menjawab. Pasti Mami membebel.
Aku sebenarnya hendak ke pejabat hanya untuk menandatangani beberapa cek yang Mai sudah sediakan. Kemudian aku akan balik ke rumah dengan kadar segera kerana hari ini ada majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran sempena Mami nak pergi menunaikan Umrah hari Khamis nanti. Aku pula kena selesaikan semua urusan pejabat sebelum pergi ke Bandung Isnin ni.
Sekarang sudah pukul 11. Aku janji dengan Mami sekejap saja. Sebelum pukul 11 aku dah balik. Pukul 11 dan aku masih disini. Siapa nak tolong Mami kemas rumah? Masak tak apa. Katering saja. Masak aku kena bebel dengan Mami.
 “Assalamualaikum. Mana Iwan ni?” Tanya Mami bila panggilannya berjawab.
“Waalaikummussalam. Allah, lupalah Mami. Sorry.” Kataku.
Ini semua Nisa punya pasallah ni. Suka buat aku teringat kat dia. Berangan kan dia. Rindukan dia dan semuanya tentang dia.
“Dah tu? Cepat sikit balik.” Kata Mami.
“Baik.”
Segera aku matikan talian. Aku letakkan telefon bimbitku ditepi sementara aku nak kemas mejaku. Nisa tak ada. Kenalah kemas sendiri. Sekali lagi telefon bimbitku berbunyi. Mami.
“Ya, Mami. Iwan dah nak keluaq dahlah ni.” Kataku sebaik menjawab panggilan Mami tu.
“Ni, Mami nak pesan. Bawa Nisa mai. Boleh tolong apa yang patut. Lagi ramai, lagi cepat kerja siap.” Kata Mami.
Nisa? Mana nak dapatkan Nisa. Mami dah lupa ke yang Nisa dah tinggalkan aku. Mami lupa ke yang aku ni dah separuh gila duk rindukan Nisa? Yang Mami merepek ni kenapa?
“Tang mana nak cari Nisa, Mami.” Kataku.
“Pi lah ambil dia dekat rumah dia. Cepat sikit. Sat lagi tak sempat nak kemas rumah ni.” Kata Mami dan terus mematikan talian.
Aku garu kepala.
Nisa ada ke dekat rumah dia? Pagi tadi kereta dia masih tak ada di garaj rumahnya. Sejak Nisa tak ada ni, hari-hari aku lalu depan rumah dia sebelum pergi mana-mana. Tak kisahlah kena bersoal jawab dengan pak guard tu. Lagipun, Pak guard tu sebenarnya dah kenal aku. Tak ada tanya banyak sangat. Sekadar ikut prosedur.
Dalam bersoal jawab dengan diri sendiri, tanpa sedar aku sudah memandu sampai ke kawasan rumah Nisa. Aku keluarkan kad pengenalanku dan berikan kepada pengawal yang bertugas untuk catatkan rekod kehadiranku. Kemudian, aku memandu ke arah rumah Nisa. Aku tak nampak kereta dia tapi masih lagi nak ikut cakap Mami.
‘Cakap Mami jangan nak bantah. Pergi saja.’
Aku keluar dari kereta dan berjalan ke arah loceng pintu dan menekan loceng rumahnya. Tak lama tu, pintu pagar dibuka. Aku kebelakang sedikit agar aku tidak dilibar oleh pagar rumah Nisa. Aku pasakkan senyum. Nak jumpa bakal mak mertua. Kenalah senyum.
Nisa.
Senyuman aku mati. Terkaku. Macam tak percaya aku lihat Nisa berdiri dimuka pintu. Rasa susah nak percaya dengan pandangan mataku. Tapi rasa untungnya dengar cakap Mami. Jumpa juga aku dengan wajah yang paling aku rindui.
Aku melangkah masuk ke dalam. Berdiri dihadapannya. Menghayati keindahan ciptaan Allah itu walaupun sebenarnya dia hanya sekadar memakai pakaian santainya rumah. Pakaian yang dulu aku katakan selekeh tu nampak cantik dimataku kini.
Nisa.
Sekali lagi nama itu aku sebut dalam hati. Senyuman aku ukirkan bila berhadapan dengannya. Makin mekar dan terus mekar. Dia? Buat tak tahu saja. Matanya juga tidaklah memandang tepat kearahku dan tidak juga mengalihkan pandangannya kearah lain. Ajak aku masuk pun tak. Mana nak ajak masuk bila senyum pun tak.
“Ha, Iwan, rindu sangat ke sampai tak pandang tempat lain?” Tegur abah Nisa yang sudah berada dibelakang Nisa.
Aku angkat pandangan aku. Aku sengih saja pada abah Nisa sambil menggaru kepalaku yang tak gatal. Malu pula.
“Masuk.” Arah abahnya.
Aku sekadar angguk dan memandang abahnya berlalu. Kemudian pandanganku beralih kepadanya kembali. Rasa nak peluk, belum halal. Rasa nak cium, lagilah melampau. Yalah, penyakit angau. Memang susah nak diubati, Naknya yang diangaukan tu depan mata.
“Mami ajak pergi rumah.” Kataku.
Dia terus berlalu dengan jelingan tajamnya. Menghentakkan kakinya disetiap langkahnya. Aku garu kepala. Aku buat salah ke? Aku melangkah masuk ke dalam. Ke ruang tamu. Mama dan abah Nisa sudah gelak-gelak. Aku melangkah dekat dengan mereka. Bersalam dengan abah Nisa.
“Apa kamu ni Iwan. Dah lama tak jumpa, patutnya tanya lah khabar ke. Cakaplah rindu ke. Ini terus bagitau Mami ajak ke rumah. Abah Nisa romantik lagi kalau macam ni.” Ejek mama Nisa sambil ketawakan aku.
Aku turut ketawa sama.
Aku guguplah. Lama tak jumpa. Rindu sangat. Sampai otak jemmed tak tahu nak cakap apa. Itu pun tadi tak plan pun nak cakap. Terlepas saja.
“Iwan. Iwan.” Kata abah Nisa sambil mengelengkan kepalanya.
Seketika kemudian, Nisa sudah turun ke bawah. Sudah siap dengan jubah warna merah dan dipadankan dengan selendang warna putih bercorak. Aku rasa dia cantik. Cantik macam selalu. Ditangannya sudah tersedia beg kertas yang masih berlipat.
“Buat apa beg tu?” Tanyaku.
“Suka hatilah. Sibuk.’ Jawabnya.
Marah aku ke? Aku buat apa? Kalau pasal apa yang dia cakap dulu tu, aku fikir seminggu lebih ini sudah cukup buat dia tenang. Sebab itu dia balik semula ke sini kan? Jadi, nak marah apa lagi? Sebab tadi? Habis tu, aku nak cakap apa? Sudah sememangnya aku datang untuk ambil dia kerana Mami panggil dia datang. Kalau ikut aku, aku nak jemput dia datang ke rumahku sebagai isteri aku.
‘Tak tercabar pula kau kalau orang kata isteri kau gemuk?’
Aku tak kisah. Ramai saja kawan-kawan aku yang sebelum kahwin isterinya kurus. Tapi bila dah kahwin, dah beranak-pinak, isterinya jadi gemuk. Baik ambil saja Nisa. Sebelum dan selepas kahwin dah memang gemuk. Tak ada rungutan lagi.
“Abang Iwan tercegat apa lagi dekat situ? Cepat lah.” Marahnya yang sudah keluar. Entah bila dia melintasi aku. Tahu-tahu dah ada dekat pintu.
“Makcik, Pakcik. Saya bawa Nisa balik rumah dulu. Nanti malam jangan lupa datang.” Pamitku. Aku bersalaman dengan abah Nisa.
“Yalah. Insya Allah, kami datang nanti.” Kata abah Nisa.
Aku beredar ke kereta. Didalam kereta, tiada sepatah pun kata antara kami. Nak kata apa pun. Baru nak ambil mood, dah sampai. Rumah dekat. Tak sampai 5 minit dah sampai. Itu pun sebab kena berpusing. Kalau tak, tak sampai 2 minit dah sampai dah rumah aku. Naik kereta, bukan jalan kaki.
“Ha, Nisa. Sampai pun. Masuk.” Kata Mami sebaik aku dan Nisa masuk ke dalam rumah.
“Tulah. Nak datang awal, kereta tak ada. Abah pun baru balik dari pasar dengan mama tadi. Nak jalan kaki, malas.” Kata Nisa.
“Tak apa. Pergi tukar baju dulu. Nak kemas rumah ni. Alih-alih perabot ni ketepi. Mana yang boleh masuk store. Kita letak dalam store.” Arah Mami.
“Kalau dah barang masuk store, Nisa nak letak baju dekat mana?” Tanya Nisa.
“Bilik Iwan lah. Mana pula lagi. Dah pergi naik.” Arah Mami.
Aku senyum. Suka pula rasanya bila Nisa nak masuk ke bilik aku. Terasa macam Nisa menantu rumah ni. Isteri aku. Bahagianya.
Aku senyum. Berangan.
Kejap. Kenapa aku rasa macam ada yang tak kena. Nisa nak masuk bilik aku saja pun? Apa yang hati ni rasa macam pelik saja ni. Bilik aku? Nisa?
“Kejap. Nisa, biar abang Iwan kemas dulu bilik. Nanti baru Nisa masuk. Kejap je. 5 minit. Tak. Seminit.” Tahanku.
Aku gelabah. Cepat saja aku berlari. Menahan langkah Nisa yang sudah memanjat tangga rumah. Aku menyelinap melepasi Nisa.
“Bukan Nisa nak tengok pun bilik abang Iwan. Nak letak Jubah ni saja. Nisa dah pakai baju nak kemas ni. Tinggal nak buang jubah dan shawl ni je.” Bantah Nisa.
“Kejap jelah.” Kataku dan terus tutup pintu bilikku.
Gilalah kalau Nisa nampak barang-barang dia yang ada didalam bilik aku. Mahunya dia cekik aku. Tak pun dia kata aku psiko sebab tidur dengan barang-barang dia. Aku ambil semua barang-barangnya dan letakkan semuanya ke dalam laci meja solekku.
“Abang Iwan, dah ke belum? Nanti Mami bisinglah lambat.” Jerit Nisa dari luar sambil mengetuk-ngetuk pintu bilikku.
“Dah, masuklah.” Balasku.
Nisa masuk. Dia memandangku. Aku sengih tayang gigi. Dia angkat kening. Aku angkat kening balik.
“Abang Iwan nak skodeng Nisa tukar baju ke?” Tanyanya.
Aku gelak. Menyedari kebodohanku. Kalau aku didalam bilik ini, macam mana Nisa nak salin baju. Kami bukan suami isteri lagi.
“Ingat Nisa tak tahu kenapa abang Iwan nak kemas bilik abang Iwan? Nisa tahulah ada barang Nisa hilang dalam bilik tu. Mama kata abang Iwan ada datang ambil barang dalam bilik Nisa.” Katanya perlahan sewaktu aku lintasinya.
Aku terkejut. Aku kalih pandangku kearahnya yang berada disebelah kananku. Dia senyum. Senyum jahat. Aku macam nampak ada tanduk yang tumbuh dikiri dan kanan kepalanya.
“Ini bag nak bawa balik barang Nisa yang abang Iwan ambil.” Katanya.
“Mana boleh. Itu dah jadi barang abang Iwan.” Bantahku.
“Bla... Bla... Bla...” Nisa membuat gerakan bibir dengan tangannya.
“Nisa, Iwan. Buat apa dekat atas tu. Cepatlah sikit. Nanti tak sempat nak siap rumah ni. Orang dah mai.” Jerit Mami dari bawah.
“Hangpa nak berasmaradana pun tunggu kahwin nanti. La ni cepat sikit turun. Banyak kerja nak buat ni.” Jerit Mami lagi.
Nisa angkat kening. Geram pula aku. Mami dah panggil. Nak lawan bercakap dengan dia pun rasa bersalah dengan Mami dekat bawah.
“Iwan. Hang buat apa kat atas tu. Cepat turun bawah.” Jerit Mami.
Segera aku turun juga ke bawah bila suara Mami dah macam Tarzan. Nanti taulah aku macam mana nak halang dia bawa balik barang-barang dia tu.
Sampai saja ditingkat bawah, aku lihat Mami sudah mula mengemas. Meletakkan pasu-pasunya ke dalam store. Aku turut bantu. Saat Nisa sudah turun, barang-barang kaca semua sudah beralih ke dalam stor.
Kini tinggal mahu mengalihkan kerusi yang kecil untuk dimasukkan kedalam store. Yang besar dan berat, akan tinggal disitu saja. Akan ditolak ke tepi. Itu rancangan Mami. Kami ikut saja.
“Cantik cincin Nisa. Bila masa beli?” Tanyaku sewaktu kami sedang mengalihkan kerusi ke tepi.
Aku dah perasan dari dalam kereta tadi tapi macam aku cakap, tak sempat nak sembang dah sampai. Ini dah nampak sekali lagi. Tanyalah. Saja nak bertanya. Tak salah pun kan?
“Manalah Nisa ni ada duit nak beli ni. Lagipun, dari beli ni, baik beli benda lain. Ada juga faedahnya.” Jawabnya.
“Ooo... Mama bagi.” Kataku.
“Haah. Mama bagi masa Nisa baru sampai malam tadi. Mama kata cincin tanda.” Jawab Nisa. Suaranya tanpa perasaan.
“Tanda apa?” Tanyaku. Ada nada cuak disitu.
“Tanda nak pinang Nisa lah. Minggu depan tunang. Nikah minggu lagi satu kot. Tak tahu. Nikah tu tunggu bakal suami Nisa ada masa. Tapi mama kata soon lah. Very soon.” Kata Nisa. Nadanya, sedikit teruja tapi lebih pada rasa biasa saja. Macam 'kalau kahwin, kahwinlah. Tak kahwin pun tak apa'.
Aku yang cemas. Nisa bakal dinikahkan? Dengan siapa? Kenapa abah dan mama Nisa tak bagitahu aku apa-apa pun? Tak halang aku dari berjumpa dengan Nisa kalau dah Nisa nak ditunangkan dengan orang lain?
‘Nisakan PA kau.’
Sebab tu ke?
“Nisa terima? Bukan. Nisa kenal ke dia?” Tanya aku. Gugup.
“Sebab kenallah Nisa terima.” Jawabnya selamba.
Aku dah separuh nyawa fikir dia mahu diambil orang. Dia pula gaya macam tak ada apa antara kami. Kata sayang aku. Cintakan aku. Tapi terima orang lain.
“Habis tu, abang Iwan macam mana?” Tanyaku.
“Macam mana apa? Macam tulah.” Jawabnya. Betul-betul tak ada perasaan.
“Kata cintakan abang Iwan tapi terima orang lain. Abang Iwan yang dah separuh nyawa rindukan Nisa, sayangkan Nisa ni. Nisa nak buat tak tahu saja?” Kataku.
Aku rasa nak menangis saat itu. Aku rasa nak menjerit pada Nisa agar dia tahu yang aku ni betul-betul sudah jatuh cinta padanya tapi bila melihatkan dia. Terus tak jadi. Pandangan dia bukan macam dulu.
“Abang Iwan yang buat Nisa pilih dia. Selama ni pun, abang Iwan bukan sayang dan cintakan Nisa pun. Abang Iwan buat semua ni sebab Mami, kan? Lepas tu, abang Iwan nak tinggalkan Nisa dan cari orang lain. Nisa tahu semua rancangan jahat abang Iwan tu. So, tak payah nak gelabah.” Katanya.
Entah dimana dia dapat penyataan yang aku tak cintakan dia. Aku perasaan masa hari Nisa luahkan perasaan marahnya tu lagi, dia asyik sebut perkara yang sama.
“Abang Iwan sayang dan cintakan Nisa.” Kataku dengan penuh perasaan.
Aku nak betulkan tanggapannya itu. Aku nak dia tahu yang aku betul-betul sayang dan cintakannya. Cuba menyakinkan dia rasa cintaku kepadanya.
“Tak payah nak temberang. Nisa dah dengar apa yang abang cakap pada abang Lukman dan kawan-kawan abang yang lain. Nisa dengar abang kata abang nak main-mainkan Nisa. Sebab tu Nisa rasa sakit sangat. Tapi tak apalah. Nisa dah terima dia. Nisa dah mula dapat lupakan abang Iwan dan dah maafkan abang Iwan.” Katanya.
Nampak air muka dia berubah. Nampak dia nak menangis. Namun, aku nampak juga dia yang makin pandai mengawal emosi. Emosi aku yang tak stabil sekarang ni. Patutlah sejak akhir-akhir ni dia sentiasa mengelak dari aku. Rupanya dia sudah tahu. Dia dah dengar.
“Sekurang-kurangnya Nisa tahu dia sayangkan Nisa dan terima Nisa seadanya. Dia tak kutuk Nisa ni gemuk ke comot ke selekeh ke.” Sambung Nisa.
Aku dah terkelu lidah. Tak terkata apa.
Bila masa dia dengar? Macam mana dia boleh dengar? Dia ada disitu? Tak perasan pun. Kejap.
Masa tu memang aku macam dengar suara orang dimeja belakang tu macam suara Nisa tapi bila lelaki itu panggil Husna, makanya aku biarkan. Aku fikir tentu orang lain. Suara yang lebih kurang sama.
Nisa' Ul Husna.
Husna itu juga nama Nisa? Allah, kenapa aku tak tengok dan terangkan hal itu. Patutlah Ros tanya Lukman siapa perempuan itu. Maknanya Lukman nampak Nisa tapi kenapa Lukman tak bagitahu aku? Kenapa Lukman suruh aku fikirkan semula tentang aku dan Nisa? Adakah sebab Lukman nampak Nisa keluar dengan bakal tunangnya itu?

Serabutnya!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan