SUBSCRIBE

Ahad, Februari 19, 2017

GEMUK DURJANA 26

Nikah? Kahwin? Sedikit pun tak melibatkan emosi aku. Hati aku sudah mati. Jiwa aku kosong. Perasaan aku terbang melayang. Langsung tak ada apa. Bunga telur dan segala jenis barangan untuk majlis resepsi aku pun, aku pandang tanpa perasaan.
“Nisa.” Tegur suara lelaki tu.
Pandangan aku masih pada ikan koi yang sedang berenang-renang gembira didalam kolam buatan mama itu. Kepala aku serabut.
Pertemuan dengan Lukman beberapa hari lepas masih menghantui aku. Berita yang disampaikannya tentang Iwan benar-benar mengganggu tumpuanku.
“Kenapa?” Soalku.
“Telefon berbunyi.” Jawabnya.
Aku bangun menuju kearah telefon aku yang sedang berdering. Aku amati nama pemanggil. Mami. Mami dah balik ke? Rasanya esok atau lusa baru Mami sampai. Ke aku tersalah tarikh?
“Assalamualaikum. Nisa, tolong Mami, nak.” Kata Mami cemas sebaik saja panggilannya aku jawab.
“Waalaikumsalam. Kenapa Mami?” Soalku tentang bertanyakan tentang maksud pertolongan yang ingin dimintanya.
“Iwan demam teruk. Iwan jarang demam tapi kalau sekali demam mesti teruk. Mami risau. Nisa tolong pergi tengokkan.” Kata Mami.
Serta merta aku melangkah mencari kunci keretaku. Setelah berjumpa dengan kunci keretaku, aku segera kearah kereta. Aku tak nak bertangguh. Hati aku yang dah beberapa hari risaukan dia makin risau jadinya.
“Mami jangan risau. Mami dekat mana sekarang ni?” Kataku sambil menghidupkan enjin kereta dan bersedia untuk memandu.
“Mami baru nak ke Jeddah. Nisa, tolong Mami. Mami bukan apa, takut dia jatuh atau tak makan. Nanti lagi teruk.” Rayu Mami.
“Okey, Mami. Nisa pergi sekarang.” Kataku dan terus mematikan talian.
Aku terus memandu ke rumahnya. Sampai saja dirumah, aku menekan loceng. Memberi salam. Tapi tiada orang yang menyahut. Puas aku panggil nama Iwan tapi tiada balasannya. Aku ambil telefon didalam kereta untuk menelefon Mami. Lantaklah kalau kredit telefon aku habis pun.
“Mami, ada letak kunci dekat mana-mana tak? Abang Iwan tak buka pintu. Kereta dia ada ni.” Tanyaku.
Tanpa salam aku terus bertanya. Tahap kerisauan aku adalah ditahap paling maksimum.
“Dekat bawah pasu dekat tiang pagar tu.” kata Mami. Aku pandang keatas. Kiri dan kanan ditiang pagar depan itu berpasu.
“Kiri ke kanan?” Tanyaku lagi.
“Mami tak surelah Nisa. Mami rasa dua-dua. Satu untuk kunci pagar dan satu tu untuk pintu kayu. Kunci manga pintu pagar dan grill tu kunci yang sama.” Jawab Mami. Aku terus matikan talian.
Aku gapai tiang yang agak tinggi untuk aku. Aku angkat pasu. Lupa terus kegelian aku pada tanah dan segala cacing yang mungkin ada didalam pasu itu. Bila aku mahu letakkan kembali pasu yang kedua, pasu itu pecah. Aku biarkan. Yang dekat dalam itu lebih merisaukan aku.
Aku masuk ke dalam. Diruang tamu dan dapur tiada. Terus aku naik ke atas. Aku buka pintu bilik Iwan. Aku lihat dia sudah terbaring dihadapan pintu bilik airnya.
“Astagfirullah alazim.” Segera aku meluru kearahnya.
“Nisa.” Dia dalam keadaan separuh sedar.
Badannya lemah seperti tidak upaya langsung untuk bangun. Aku angkat dia dengan seluruh tenaga yang ada. Aku bawa dia naik ke atas katil semula. Aku tarik nafas. Mencungap juga. Berat betul lelaki ni. Telefonnya yang ada dikakiku aku ambil dan aku letakkan disisinya.
“Kita pergi hospital. Nisa call ambulance.” Putusku.
Dia geleng.
Aku sudah mengambil telefon yang aku letakkan diatas meja soleknya tadi. Aku mahu telefon ambulan. Takkan nak dengar cakap orang tengah sakit.
“Nisa, abang tak nak pergi hospital. Tolong jangan hantar abang pergi hospital.” Rayunya dalam kepayahan dia untuk bersuara.
Aku tarik nafas. Menahan marah yang timbul dek kedegilannya. Aku kemudian ke almarinya. Mengambil tuala kecil yang mungkin ada disitu. Tiada. Yang ada cuma sapu tangannya yang selalu dibawanya itu.
‘Tak kisahlah. Kain juga.’ fikirku.
Aku masuk ke bilik air dan basahkan kain itu. Kemudian aku bawa keluar dan letakkan dilehernya. Dia diam saja.
“Abang belum mandi. Papah abang ke bilik air. Abang nak mandi. Bagi rendahkan suhu badan.” Katanya setelah seketika.
Mandi? Memanglah kalau demam elok kalau kita mandi untuk kurangkan suhu badan tapi takkan aku nak mandikan dia. Haram. Tengok saja keadaan dia pun tahu yang aku kena mandikan dia sampai pakaikan baju untuknya.
“Tak payah. Nisa lap saja.” Putusku.
Dia nak mandi? Kalau aku lambat tadi, tak tahu apa jadi dekat dia. Berdiri pun tak larat. Ada hati nak mandi. Tak payah nak susahkan aku.
Telefon aku berbunyi. Aku bangun dan melihat nama Mami.
“Assalamualaikum, Nisa. Iwan macam mana?” Tanya Mami.
Aku menceritakan keadaan yang terjadi sebentar tadi. Mami sudah mengucap panjang. Nada suara Mami pun dah tahu yang Mami sangat risau.
“Nisa, mandikan Iwan setiap 2 jam. Selalu Mami buat macam tu.” pesan Mami.
Aku pandang dia. Teragak-agak dan sedang berfikir macam mana nak mandikan dia. Nak angkat dia tadi pun rasa macam nak tercabut urat perut aku.
“Jangan bagi Iwan apa-apa ubat. Dia ada allergic dengan ubat. Mami sampai lusa. Maafkan Mami susahkan Nisa.” Kata Mami.
“Tak apa Mami. Tolong sesama manusia.” Jawabku sebelum mematikan talian.
Aku pandang dia. Mencari idea macam mana nak mandikan dia. Aku memang tak boleh nak mandikan dia. Haram satu hal. Tak larat pun satu hal.
“Tunggu kejap. Nisa panggil orang untuk mandikan abang Iwan.” Kataku.
Aku memandu pulang ke rumah. Menarik lelaki yang ada dihadapan pagar rumah. Dia yang terpinga-pinga hanya mengikut tanpa banyak soal. Aku ajak dia masuk ke rumah Mami. Memintanya mandikan Iwan yang sedang terlantar.
“Kenalkan abang Iwan. Suami Nisa.” Kataku padanya setelah dia siap mandi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan