SUBSCRIBE

Rabu, September 13, 2017

EHPW 25 : NITA

Alhamdulillah, mujur aku dan Azril ada memberikan bonda kunci rumah kami.
Alhamdulillah, mujur bonda sempat telefonku sebelum aku pengsan.
Alhamdulillah, bonda tidak menggelabah dan tahu apa yang nak dibuat. Bonda datang ke rumahku. Dia cuba sedarkan aku. Tapi aku tetap tidak sedar. Akhirnya, dia menelefon ambulan dan jadilah aku penghuni hospital selama 3 hari.
Bila saja doktor benarkan aku pulang, aku buat keputusan untuk rehat dirumah bonda. Ini sudah hari kedua aku di sini. Aku mula rasa segar.
Sudah berhari-hari aku fikirkan perkara ini. Aku tak mahu terus menerus masuk ke hospital kerana memikirkan hal ini lagi. Aku pilih untuk bahagia. Salah satu kebahagiaan aku apabila melihat senyuman manis Azril.
Dan sekarang ni, aku mahu pulang ke rumahku. Aku dapat rasakan hari ini Azril akan balik dari bertugas. Kalau tak hari ini, mungkin esok. Entah. Aku tak pernah bertanya tentang keberadaannya. Ini mahu pulang kerana tak mahu dia tahu aku masuk hospital. Tak mahu dia risau. Tak nak dengar dia bising. Tak rela melihat dia terus mempersalahkan nenda.
Aku sudah bersiap mahu pulang. Tak ada apa pun yang mahu di bawa balik. Pakaianku dan Azril memang ada di dalam almari bilik Azril. Pakaian itu akan diuruskan oleh seorang bibik yang akan datang seminggu 3 kali ke rumah ini.
“Nenda. Boleh Nita bercakap dengan nenda sekarang ni?” Tanyaku bila saja aku sudah berada di ruang tamu. Saat itu, nenda, ayah dan bonda sedang beristirehat sambil menonton televisyen.
Semua mata memandangku.
Nenda angguk.
Aku duduk dihadapan nenda. Berada diantara ayah dan bonda. Saja duduk diantara ayah dan bonda. Lebih untuk merasa tenang. Selain untuk mendapatkan sedikit kekuatan untuk menyatakan apa yang bakal aku katakan.
“Saya rasa cukup sampai sini isu Azril berkahwin lain dibincangkan. Saya tak nak bonda dan ayah susah hati. Saya tak nak lagi Azril serabut. Saya tak mampu nak lihat suami saya yang selama ini tenang jadi serba tak kena. Saya tak mampu nak kehilangan senyuman manisnya. Cukuplah sampai sini.” Kataku. Tenang.
“Senang saja. Izinkan Azril kahwin lain!” Balas nenda dengan tegas. Senyuman sinis dihadiahkan kepadaku.
Aku senyum kelat yang cuba dimaniskan.
“Kebahagiaan saya adalah bila Azril bahagia. Kalau nenda rasa Azril akan bahagia jika berkahwin lain, saya izinkan.” Kataku.
Air mata aku tahan. Aku dah tak nak ia mengalir lagi. Cukup berhari-hari aku menangis. Sampai tak makan. Sampai tak terurus diri sendiri. Cukuplah. Aku dah tak nak menangis lagi. Tidak walaupun untuk sekali.
Janjiku. Untuk sentiasa membahagiakan diri. Aku tahu, aku akan bahagia jika Azril bahagia. Dan aku juga tahu, Azril bahagia bila aku bahagia. Ini adalah pengorbanan yang aku buat untuk kami bahagia. Doanya, Allah makbulkan.
“Ha... Kan senang macam ni. Kalau dari dulu Nita setuju. Tak ada sampai masuk hospital.” Kata nenda penuh rasa bangga. Rasa dia sudah menang.
Reaksi nenda benar-benar mengundang rasa sebak dihatiku. Terluka. Sebelum isu ini dibangkitkan, aku dimanjakan oleh nenda. Tidaklah manja bergesel sana sini, tidak. Aku dan nenda punya satu sikap. Kami menunjukkan kasih sayang kami dengan cara kami. Salah satu cara adalah dengan cuba sedaya upaya untuk menyenangkan hati orang yang kami sayang. Ya. Aku terpaksa akui, aku dan nenda tidak pandai meluahkan rasa sayang. Kami wanita tegas yang tak pandai meluahkan kata-kata manis.
Namun kini? Nenda buang aku macam sampah.
Aku tarik nafas dalam. Menangis pun tak ada guna. Yang sakit tetap aku.
Sekali lagi aku ingatkan diri. Aku mahu bahagia.
“Saya izinkan dengan dua syarat.”  Aku jeda. Menarik nafas panjang umpama menarik keyakinan diri yang sudah lebih seminggu berterbangan jauh.
“Apa dia?” Tanya nenda.
Aku senyum. Kelat bercampur sinis.
“Pertama, nenda sendiri kena bagitahu Azril tentang keputusan saya ni tapi isu ini tidak dibincangkan dihadapan saya. Saya tak nak lagi bangkitkan isu ni. Dan saya tak mahu terlibat. Saya langsung tak nak tahu.” Kataku. Dan aku benar-benar maksudkan apa yang aku katakan.
“Baik.” Nenda setuju sambil menyilangkan tangannya. Kepalanya diangguk-anggukkan.
“Yang kedua, saya tak mahu tahu atau kenal siapa isteri kedua Azril. Sama ada sebelum kahwin atau selepas kahwin. Saya tak nak tahu. Dan dia pun tak boleh tahu tentang saya. Hidup dia dan Azril adalah hidup mereka. Hidup saya dan Azril adalah hidup kami. Dia tak boleh kacau waktu saya dan Azril. Dan dia tak boleh kacau hidup saya dan Azril. Tak kira dalam apa keadaan sekalipun.” Tegas dan jitu aku berikan syarat keduaku. Syarat yang paling penting untuk aku.
“Boleh. Lagi bagus.” Balas nenda penuh yakin.
“Kalau dua syarat ini dilanggar sengaja atau tidak sengaja, jangan kata nenda, bonda dan ayah pun tak akan berjumpa lagi saya dan Azril. Rasanya, nenda tahu, kami ada beberapa biji rumah diluar negara. Tapi tak siapa pun tahu di mana kan? Saya akan bawa Azril menetap di sana jika nenda atau sesiapa saja yang langgar syarat saya ni. Kami tak akan balik lagi ke Malaysia. Selamanya.” Kataku bersama suara yang sengaja aku siniskan. Dan aku tegaskan.
Aku mahu semua orang yang dengar faham betul-betul. Aku benar-benar akan buat apa yang aku cakap. Aku nak mereka tahu, tindakan mereka yang cuba menggoncang rumahtanggaku telah membuatkan aku hilang rasa hormat kepada mereka. Kini, bercakap dengan lembut hanyalah kerana tanggungjawab. Bukan lagi atas faktor sayang.
“Mana boleh macam tu!” Bantah nenda.
“Saya izinkan Azril kahwin mengikut kehendak nenda. Jadi nenda kena terima syarat saya. Tak susah pun, kan? Saya cuma nak menjaga kepentingan saya sama macam nenda nak menjaga kepentingan nenda. Kalau nenda rasa syarat tu berat, batalkan niat nenda. Tak susah pun. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Kataku dan terus berpamitan.
Tangan bonda dan ayah aku salam. Tangan turut dihulurkan kepada nenda tapi tidak disambut. Nenda kelihatan sangat marah dengan keputusan yang aku berikan.
“Nita. Nanti dulu.” Panggil nenda bila aku sudah berada dihadapan pintu.
Aku pandangnya tanpa bergerak mendekatinya.
“Baik. Nenda terima.” Kata nenda.
“Bonda!” Bantah bonda.
“Azril tak akan tinggalkan kita, Rina.” Kata nenda penuh yakin.
Aku ketawa sinis.
“Nenda rasa kenapa sampai sekarang Azril tak pernah setuju walau macam-macam nenda ugut dia. Sampaikan gunakan bonda pun masih Azril tak terima?” Tanyaku. Mataku tepat memandangnya.
“Fikir sendiri nenda.” Sambungku bila tiada jawapan.
“Bonda. Azril tu terlalu sayang dan cintakan Nita, bonda.” Kata ayah.
Aku senyum sinis.
“Tapi Azril seorang yang bertanggungjawab.” Balas nenda.
“Ya. Dan Nita adalah tanggungjawab dia juga. Bonda rasa siapa yang dia akan pilih? Kita atau Nita?” Tanya ayah.
“Nita, bonda. Azril akan pilih Nita.” Jawab bonda.
“Arh! Kita cuma kena ikut syarat Nita. Bukan susah pun syarat dia tu. Bonda tak kira. Azril kena ada anak. Kena ada waris untuk keturunan aku.” Balas nenda.
“Terpulang nenda. Pesan juga pada bakal menantu cucu nenda itu. Tak perlu nak perkenalkan diri depan saya. Nama dia pun saya tak mahu tahu. Apatah lagi siapa dia. Saya langsung tak mahu ambil tahu!” Kataku dan terus berlalu.
Aku masuk ke dalam kereta bonda yang aku pinjam. Terus memandu pulang ke rumahku. Sepanjang pemanduanku, hati dan mindaku terus berperang.
Walaupun situasi ini nampak seperti aku bakal menang, tapi aku tetap sedih. Berkongsi kasih? Kita boleh merancang tapi mana kita akan tahu apa yang bakal berlaku. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Rasa takut aku halau pergi. Aku ingat pesan seorang ustaz.
“Allah akan uji dengan perkara yang paling kita takuti.”
Namun, rasa takut itu terus menerus datang mendekati diriku.

“Allah, aku serahkan segalanya kepada-Mu. Seandainya jodoh kami panjang, maka Kau berikan kebahagiaan tanpa sempadan kepada kami. Allah, panjangkan jodohku dan Azril dengan penuh kebahagiaan dan limpahi rahmat dan redha-Mu dalam hubungan kami. Amin.” Doaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan