SUBSCRIBE

Jumaat, September 15, 2017

EHPW 27 : AZRIL

Aku membuka mata. Haruman dari rambut Nita masih dapat aku hidu. Nita juga masih di dalam dakapanku. Ucapan syukur dipanjatkan kepada Ilahi.
Aku meleraikan pelukan. Duduk di atas katil sambil membaca doa bila mengalami mimpi buruk. Kemudian, aku meludah ke kiri sebanyak tiga kali. Mengikut amalan Rasullullah s.a.w selepas mimpi buruk.
Mimpi ini betul-betul ngeri. Lebih ngeri dari mimpi berjumpa hantu. Alhamdulillah, hanya mimpi. Jika benar terjadi, aku rasa, aku akan jadi gila. Dalam mimpi itu, jelas, aku jadi lelaki bodoh. Bodoh kerana terlalu ikutkan keadaan tanpa mampu membaca hati insan yang aku cintai. Bodoh kerana aku gagal dalam mendidik isteri kedua untuk menjadi mukminah sejati.
Dan aku tak mahu jadi bodoh.
Aku pandang ke selebah kananku. Wajah Nita menyapa mata. Aku mengalihkan kedudukan. Berbaring menghadap Nita yang sedang nyenyak tidur. Perlahan wajah itu aku usap lembut. Rasa syukur masih tidak putus aku panjatkan kepada Allah kerana memberikanku mimpi yang menyakitkan itu. Dan rasa syukur kerana ia sekadar mimpi. Hakikatnya, Nita masih isteriku. Satu-satunya isteri yang aku ada. Dengan mimpi itu, makin bulat tekadku untuk tidak mengikut rancangan nenda.
Aku senyum memandang wajah Nita. Aku kucup dahi, hidung, pipi dan bibirnya. Berhati-hati agar dia tak terjaga dari tidurnya kerana aku masih belum puas menatap wajahnya. Wajah yang menarik perhatianku saat pertama kali aku lihat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sewaktu hari pertama aku mula bertugas sebagai juruterbang.
Dan wajah ini yang sentiasa mengganggu fikiranku sejak pertama kali itu. Wajah tanpa perasaan. Tingkahnya tika itu yang sedang melihat jam di tangan. Aku rasa dia sangat seksi waktu itu walaupun tidak nampak langsung auratnya. Wanita bertudung dan berpakaian longgar itu betul-betul mengganggu hidupku.
Bila bayangannya sudah mula pudar dari ingatan, sekali lagi aku terserempak dengannya. Aku terpaku. Bila akalku berjaya berfungsi dan menghantar arahan supaya aku pergi mendekatinya, satu insiden berlaku. Dan dia juga telah hilang dari pandanganku.
Kali ketiga terserempak, aku tak lepaskan peluang. Niat untuk menzirahi kawan, aku batalkan. Aku ikut keretanya dari Shah Alam ke Pelabuhan Klang. Tika itu aku fikir, sekurang-kurangnya, aku tahu rumahnya walaupun tak tahu namanya.
Bila tidak bertugas, aku pasti akan pergi ke rumahnya. Hanya memandang rumahnya sambil menunggu dia keluar atau masuk ke rumah. Bila saja aku nampaknya, rinduku sudah terubat. Lepas tu, aku balik. Cukuplah untuk hilangkan rasa rindu untuk seketika.
Hinggalah suatu hari, aku beranikan diri menceritakan keadaanku kepada ayah dan bonda. Dan aku minta ayah dan bonda agar merisik dan meminang wanita itu. Aku sudah tidak mahu lagi menahan rindu. Aku takut dosa-dosa yang aku kumpul kerana merindui dia yang tidak halal untukku.
Tapi jawapan ayah lain. Kata ayah,
“Kamu anak lelaki. Kena berani. Ayah nak kamu pergi perkenalkan diri kamu kepada orang tuanya. Kemudian minta izin untuk meminang anak dara mereka. Andai mereka setuju, barulah urusan seterusnya menjadi urusan kami. Boleh buat?”
Selepas sarapan pagi itu, aku keluar untuk membuat tugasan yang ayah suruh. Anak lelaki. Pantang dicabar. Ditambah pula hati sudah berkenan. Rindu sudah menggunung.
Saat aku tiba di rumah itu, aku lihat seorang lelaki keluar dari rumah. Dia sedang membuka pagar rumah untuk mengeluarkan keretanya. Aku letakkan keretaku menghalang laluan keluar masuk rumah itu. Aku keluar dan memberi salam. Dengan mesra salam aku dibalas.
Walaupun air muka lelaki itu garang tapi dari cara dia menjawab salam sudah melegakan hatiku. Aku tahu dia seorang lelaki budiman. Dan dari usianya, aku teka, itu bapa kepada wanita pujaan hatiku.
Tanpa memperkenalkan diri terlebih dulu, aku terus menawarkan diri untuk menjadi pemandu lelaki tersebut. Dengan niat mahu bercerita sewaktu dalam perjalanan tapi satu patah kata berkenaan wanita itu langsung tak keluar. Tak tahu bagaimana mahu bercerita.
Sehinggalah kembali ke rumah dan dijemput masuk. Diperkenalkan kepada ahli rumah itu. Aku masih lagi tidak mampu menyatakan hasrat hati. Sehinggalah wanita itu menjelma betul-betul didepan mataku.
“Ini anak Pak Ya nombor tiga. Zahiyanita Zainul Ariffin.” Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Pak Ya itu memperkenalkan wanita pujaanku kepadaku.
Dan yang paling buat aku terperanjat, bila Pak Ya berkata kepada anaknya,
“Nita duduk dulu. Berkenalan dengan bakal suami kau ni.”
Tanpa aku duga, Allah berikan petunjuk kepada abah sebelum ketibaanku. Abah kata, seminggu sebelum aku datang, abah mimpi. Ada seorang lelaki akan datang meminang Nita. Dan bila aku datang, terdetik dihati abah yang aku adalah lelaki itu.
Sebelum abah beri kebenaran untuk keluarga aku datang meminang, abah ada pesan supaya aku fikirkan semula keputusan aku. Kerana, kata abah,
“Suka dan cinta semata-mata, tak cukup untuk handle seorang Nita, Azril.”
Namun, aku tekad. Aku mahukan Nita menjadi suri dihatiku. Menjadi makmumku. Menjadi ibu kepada anak-anakku. Dan paling utama, menjadi wanita yang halal untuk aku. Kerana aku terlalu mencintainya.
Seminggu kemudian, ayah, bonda dan nenda datang bertandang ke rumah mereka untuk merisik. Tapi abah kata, terus saja ditunangkan. Tak perlu buat majlis. Cukup sekadar keluarga saja yang tahu. Tak lama pun kami bertunang. Aku minta agar dipercepatkan majlis pernikahan kami. Kalau ikut aku, aku mahukan pertunangan selama sebulan saja. tapi abah minta tiga bulan untuk menyediakan kelengkapan majlis kenduri kahwin kami.
Dan dalam tempoh tiga bulan itu, aku rasa nak menangis dengan perangai Nita. Bukan dia berperangai tak semenggah. Cuma dia masih tak tetap pendirian. Sama ada mahu menerimaku atau memutuskan pertunangan kami.
Namun, syukur. Allah memang jodohkan aku dengan Nita. Bertapa aku bersyukur kerana akhirnya Nita tetapkan keputusan untuk terima aku seminggu sebelum majlis pernikahan kami tanpa apa-apa sebab. Dia menerima seadanya aku tanpa mengetahui latar belakangku. Dia langsung tak pernah bertanyakan tentang aku. Dia dengan tanggapannya sendiri. Langsung tak pernah bertanya. Kadang-kadang buat aku tertanya-tanya.
Benarkah dia benar-benar menerima aku?
Hatiku dipujuk oleh abah. Abah kata,
“Itu cara Nita. Dia memang fail bab nak cakap apa yang dia rasa. Tapi tengok apa yang dia buat, kita tahu, apa yang dia rasa. Abah tengok, dia manja saja dengan kamu. Cara dia pandang kamu. Malu-malu dia. Itulah Nita.”
Dan ya. Sejak pertama kali aku memandangnya tepat ke mata selepas kami diijab kabulkan, wajahnya akan memerah. Hingga kini, selepas 5 tahun berkahwin, Nita masih seperti itu. Kadang-kadang, boleh dengar degupan jantungnya berbunyi. Dek kerana aku tenung wajahnya dalam. Bila aku senyum menggoda, aku lihat betapa resahnya dia.
Aku senyum. Bahagia memiliki isteri yang unik dalam meluahkan rasa cinta. Selama kami berkenalan, tak pernah sekalipun Nita ungkapkan kata cinta itu. Walaupun berkali-kali aku mohon kepadanya agar luahkan rasa itu. Namun, Nita tetap Nita.
Nita tak marah yang menengking atau meninggikan suara. Tak. Nita bila dia marah kepadaku, dia diam. Langsung tak bersuara. Pandang aku pun tidak walaupun aku didepan matanya. Marah dia adalah marah yang membunuh. Membunuh jiwa raga. Dan hanya dia yang akan pujuk diri dia sendiri. Aku hanya perlu tunggu sehingga dia kembali pulih sambil perbetulkan kesilapan yang telah aku lakukan.
Sama dengan keadaan bila nenda menyuarakan rancangannya untuk meminangkan aku seorang lagi isteri. Dia tak mengamuk tapi pelbagai cara dia gunakan untuk gagalkan rancangan nenda. Sehingga dia minta aku supaya tak masuk campur dalam peperangan antara dia dan nenda supaya aku tidak merumitkan keadaan. Aku pun menyerahkan semuanya atas pertimbangannya.
Sehinggalah nenda menggunakan bonda untuk menyerang kami. Saat itu, Nita dan aku terasa tewas. Dan kini, aku sendiri rasa benar-benar telah tewas bila nenda kata, Nita izinkan aku berkahwin lain.
Dan bila bonda dan ayah sendiri yang menjadi saksi, aku terpaksa percaya. Dan bonda pesan, Nita tak mahu lagi benda ni dibicarakan dihadapannya.
Dan semenjak itu, Nita benar-benar berubah. Tak lagi kemurungan dan termenung. Dia kembali menjadi Nita sebelum perkara ini tercetus. Layanannya kepadaku juga masih sama seperti dulu malahan semakin baik. Langsung isu aku dan rancangan nenda itu terkubur bila kami bersama.

Namun, yang merisaukan hatiku adalah nenda. Nenda dah mengambil langkah-langkah yang lebih drastik untuk menyatukan aku dan pilihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan