SUBSCRIBE

Ahad, September 17, 2017

EHPW 29 : AZRIL

“Wifey, telefon bunyi tu.” Kataku sambil duduk disebelah Nita.
Nita memandang aku tajam. Mukanya masih cemberut. Dan aku dalam usaha untuk memujuk isteri yang merajuk. Pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbit Nita itu ialah dari aku. Itu saja cara yang ada bila Nita langsung tak mahu bercakap denganku.
Nita baca tapi tidak membalasnya. Sekali lagi aku menghantar pesanan ringkas untuknya. Masih lagi tiada balasan.
Satu saja cara untuk buat dia balas. Menulis nama penuhnya.
Tak lama selepas dia menaip sesuatu dari telefon bimbitnya, telefon bimbit aku pula berbunyi. Aku buka dan baca balasan darinya.
Bukan marah. Terkilan.
Aku senyum.
Bukankah aku sudah katakan? Hanya aku tahu macam mana nak menawan seorang Zahiyanita selepas abah. Dan aku tahu, bila dia membalas, bermakna marahnya sudah surut. Waktu yang tepat untuk buat seorang Zahiyanita sedar. Maka panjanglah pesanan yang aku taip khas buat isteri tercinta.
Macam mana wifey nak kongsi kasih kalau dengan anak-anak kita ni pun wifey tak boleh nak tahan rasa cemburu? Ini baru berkongsi kasih dengan anak kita. Macam mana nanti nak berkongsi kasih dengan perempuan lain? Wifey, walau mereka bukan darah daging kita tapi mereka ini penyeri hidup kita. Anak-anak kita.
Pada aku, langsung tak logik untuk Nita merajuk hanya kerana lima bersaudara yang pertama mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ untukku sebaik saja aku buka mata. Dan yang buat Nita marah, lima bersaudara dapat ciuman yang pertama dariku pagi ini. Walhal, Nita dah ucapkan ucapan itu tepat jam 12 tengah malam tadi. Dan bukan sekadar dia mencium aku tapi lebih dari itu dia berikan aku sebagai hadiah.
Wifey minta maaf.
Boleh. Tapi meh peluk saya
Malulah
Nak malu apa? Bukan budak-budak ni tak biasa tengok.
Satu
Dua
Tiga
Dan aku terus memeluk dan memberinya 5 ciuman. Dahi, hidung, kedua belah pipi dan bibirnya tanpa dia cuba mengelak atau menolak.
Kami ketawa.
Lima bersaudara datang menerpa kami. Bergomol satu sama lain. Aku suka suasana ini tapi ada sesuatu yang bermain di mindaku. Jadinya, aku rasa sudah tiba masa untuk aku menegur keadaan sekarang ni.
“Aisyah dah berapa tahun?” Tanyaku bila mereka sudah puas bergomol.
“11 tahun.” Jawabnya.
“Maknanya Mawar, Zil dan Damia dah 10 tahun, kan?” Tanyaku.
Mereka angguk.
“Ayush baru 9 tahun.” Kata Ayush.
Aku senyum dan menggosok rambutnya. Budak ini, aku belum risau lagi. Dia masih kanak-kanak yang lambat lagi mahu baligh.
“Ayah lang ingat nak kena buat biliklah rumah ni. Nanti bila Aisyah dah baligh, Aisyah kena sentiasa bertudung dalam rumah ni. Sama saja dengan Damia dan Mawar. Tak lama lagi, kita nak bergomol macam ni pun dah tak boleh. Ada banyak batasan yang kena djaga. Ayah lang dan ibu lang suka korang datang sini. Kami pun sayang kamu. Kalau boleh nak peluk dan cium korang sampai bila-bila. Tapi hukum Allah tetap kena jaga, kan?” Kataku.
Sebenarnya, sejak Aisyah menginjak ke umur 10 tahun lagi aku sudah menjaga batasan pergaulan kami. Kalau dulu, asalkan kami berjumpa, aku pasti akan cium dan peluknya. Lima bersaudara ini akan sentiasa melekat denganku. Dan jika aku nak bagi hadiah, cukup sekadar sebuah ciuman untuk mereka. Itu lebih buat mereka gembira berbanding hadiah yang lain.
“Aisyah tahu. Mama dan papa pun dah cakap. Ustazah pun ada ajar.” Kata Aisyah.
“Damia pun sama.” Kata Damia sambil bergerak duduk di pangkuanku.
Aku sebenarnya tak berapa risaukan Aisyah. Aisyah pandai menjaga kelakuannya. Tidak berlebih-lebihan. Yang aku risaukan sekarang ni adalah Damia. Damia lebih manja denganku berbanding bapanya. Dia suka memeluk dan menciumku. Kadang-kadang tanpa sebab. Hingga Nita kata Damia kena pukau dengan kekacakanku.
“Dah tahu tapi duduk lagi dekat dengan ayah lang.” Tegur Zil.
“Biarlah. Nanti dah baligh, barulah tak boleh. Sekarang boleh lagi.” Balas Damia. Siap dijelingnya Zil.
“Bila ayah lang cakap tu, maknanya kena buat dari sekarang. Nanti tak adalah terbiasa sangat sampai susah nak buang tabiat tu.” Tegur Nita pula.
“Ala...” Dan Damia bergerak ke arah Nita.
Aku ketawa.
Damia memang seorang yang suka dimanjakan. Nita kata, mak bapa Damia memang memanjakan dirinya. Anak tunggal. Semua yang dia mahu, pasti akan diberikan. Sebab itu, bila dengan kami, Nita membataskan. Nita kata, dia mahu ajar Damia. Bukan semua yang dia nak, dia boleh dapat. Biar Damia belajar apa itu rasa kecewa.
“Dah. Siap. Ini dah pukul berapa dah ni. Esok sekolah.” Arah Nita menolak Damia yang berada di atas ribaannya.
Ala… Esoklah balik ibu lang. Lagipun, awal tahun. Bukan belajar lagi. Cikgu sibuk uruskan hal yuran.” Kata Damia.
Aku ketawa.
“Ajarlah lagi budak-budak benda bukan-bukan. Kan dia orang dah ikut.” Kataku sambil mentertawakannya.
Semalam, lima bersaudara minta untuk menyambut ulangtahun kelahiranku yang kebetulan jatuh pada tarikh hari pertama persekolahan tahun ini. Merayu-rayu mereka sehingga Nita bersetuju. Maka Nita memberikan alasan awal tahun dan kesibukan guru-guru menguruskan yuran. Sekarang ini, alasan itu digunakan untuk memanjangkan cuti mereka.
“Boleh. Tapi nanti bila mak bapa korang tanya, korang jawab sendiri. Ibu lang nak hantar mesej kat mak abah korang kata korang tak nak balik.” Ugut Nita sambil menaip di telefon bimbitnya.
Lima bersaudara berbincang sesama mereka.
“Yalah kitorang balik. Ibu lang tak sayang kami.” Kata Zil.
“Sebab sayang suruh korang pergi sekolah. Jadi pandai.” Balas Nita.
Aku senyum saja melihat telatah mereka. Terutama Nita. Dengan budak pun dia boleh bergaduh. Diarahnya lima bersaudara kemas barang mereka sekali dengan rumah kami yang telah mereka sepahkan. Usai dia uruskan lima bersaudara, aku pula dia suruh siap. Macam budak dibuatnya aku.
Sabar saja dapat isteri macam ni. Nak buat macam mana? Sayang punya pasal. Aku pun selalu saja terikut-ikut perangainya. Kalau dulu sentiasa menjaga patah kata yang keluar, tapi sejak berkahwin dengan Nita, banyak perkataan pasar yang aku belajar darinya. Tidak lagi menggunakan bahasa standard Bahasa Melayu.
Dan ia buat aku rasa, aku manusia normal.
Maklum saja, aku dibesarkan oleh nenda dan tok ayah. Nenda punya gaya seorang bangsawan. Segala perlakuan wajib dijaga. Ada banyak benda tak boleh buat. Dari pertuturan sehinggalah gaya berjalan. Semua kena jaga.
Tok ayah pula seorang bekas askar. Tok ayah yang menyelamatkan aku dari jadi seorang lelaki bangsawan. Dan tok ayah juga yang mengajar aku pelbagai perkara yang seorang lelaki perlu buat. Kerja-kerja lasak itu biasa walaupun dilarang oleh nenda.
Dan ketegasan tok ayah yang selalu buat nenda beralah. Seperti Nita, hanya tok ayah tahu bagaimana mahu mematahkan kedegilan nenda. Aku bukan tak belajar dengan tok ayah cara untuk menangani nenda tapi nampaknya nenda sangat tegas kali ini. Itu yang buat aku buntu.
“Ayah lang, ibu lang, nanti bawa kitorang pergi rumah ibu lang dengan ayah lang lagi tau. Bye.” Kata Ayush sebelum melangkah keluar dari kereta.
Aku hanya angguk dan melambainya dan Aisyah. Perhentian terakhir setelah menghantar Damia, Zil dan Mawar.
“Hubby, pergi rumah bonda.” Kata Nita.
Aku diam. Bukan tak mahu tapi aku tak nak. Aku khuatir Nita akan terluka seandainya terserempak dengan Dura, calon isteriku. Aku rasa dia ada di rumah bonda kerana Dura ada menghantar mesej kepadaku siang tadi bertanyakan keberadaanku.
Aku saja tak balas. Tak pernah balas. Tak rasa perlu untuk balas.
“Mesti ayah dan bonda tunggu kita.” Kata Nita lagi.
Ya. Pasti. Aku tahu hakikat itu. Dari kecil, ayah dan bonda akan ambil cuti semata-mata untuk meraikan ulangtahun kelahiranku. Tak pernah walau setahun pun mereka gagal untuk meraikan ulangtahun kelahiranku.
“Mesti bonda dah siapkan pulut kuning.” Sambung Nita.
Kecur air liurku mengenangkan pulut kuning dan kari telur yang dimasak oleh bonda. Makanan kegemaranku yang hanya boleh dimakan untuk meraikan sesuatu sahaja.
Tapi nenda? Dura?
“Jomlah. Sekurang-kurangnya untuk menjaga hati ayah dan bonda.” Pujuk Nita.
Aku diam dan terus memandu ke arah rumah bonda. Hatiku berdoa agar Dura tidak datang ataupun sudah balik. Aku tak mahu hati Nita disakiti. Sejak dia menyatakan keizinannya, dia sudah bahagia. Nenda pun sudah tidak menyerangnya. Tiada lagi pertelingkahan yang membuatkan aku jadi serba salah.
Kalau dia berjumpa Dura, apa akan jadi?
Sampai saja di rumah bonda, azan maghrib berkumandang. Kami terus naik ke atas. Menunaikan solat maghrib berjemaah dengan ayah, bonda dan nenda. Ayah yang mengimamkan solat maghrib kami hari ini. Dalam doa yang ayah baca, ayah turut mendoakan aku dan Nita. Dan sememangnya, ayah dan bonda tak pernah lupa untuk mendoakan kami berdua.
“Happy birthday.” Ucap ayah semasa aku menyalami tangannya. Ayah memelukku dan membisikkan doa-doa yang baik untuk aku.
“Selamat Hari Jadi.” Ucap bonda pula bila aku menyalami tangannya. Bonda turut memelukku dan mendoakan aku. Aku aminkan doa bonda. Doa yang paling mustajab untukku.
“Selamat Ulangtahun kelahiran.” Ucap nenda bila aku menyalami tangannya.
“Kamu mahu apa? Nenda belikan.” Sambung nenda.
“Saya mahu nenda batalkan rancangan gila nenda. Itu hadiah yang paling mahal yang saya nak.” Balasku.
“Lupakan.” Dan nenda terus bangun dan masuk ke biliknya.
Aku memandang ayah dan bonda. Mereka hanya senyum kelat sambil mengangkat bahu. Aku tahu, mereka tidak boleh berkata apa. Sejak dulu, ayah dan bonda hanya mampu ikutkan saja apa yang nenda inginkan. Semuanya demi mengambil hati nenda yang marah kerana mereka menikah tanpa kerelaan nenda.
Ayah bukan pilihan nenda. Namun, tok ayah sangat sayangkan ayah dan menikahkan ayah dan bonda. Kerana itu, ayah dan bonda sentiasa berhati-hati dengan nenda. Apa saja yang nenda inginkan, pasti mereka turuti. Sehinggakan nenda minta untuk menjagaku juga, mereka terpaksa benarkan. Tapi, manalah aku tahan hidup dengan nenda yang sangat cerewet.
Sebaik saja tok ayah meninggal dunia, aku terus pindah keluar dari rumah nenda. Waktu itu usiaku sudah menginjak ke umur 15 tahun. Alasannya, mudah untuk aku ulangkaji pelajaran di perpustakaan negara jika tinggal di rumah bonda. Lebih banyak buku dan bahan rujukan.
Walhal, itu semua alasan. Sebenarnya, itu adalah alasan yang tok ayah pesan kepadaku beberapa bulan sebelum dia meninggal. Tok ayah risau sekiranya aku tinggal dengan nenda, perwatakanku akan berubah menjadi seperti nenda.
“Jom turun makan. Bonda dah siap masak pulut kuning pagi tadi. Buat banyak sikit. Ingatkan kamu nak bawa budak-budak tu datang sini. Tunggu punya tunggu. Tak datang pun. Dah maghrib baru sampai. Itu pun, kamu berdua saja.” Kata bonda. Kecewa.
“Bonda tak cakap pagi tadi. Kalau bonda cakap, kami bawalah. Takut nanti dorang datang mengacau nenda nak berehat pula.” Balas Nita.
Bonda senyum.
“Tak apalah. Ada lebih, esok boleh buat pulut panggang ke. Pulut sambal ke.” Kata bonda sambil meletakkan telekung yang sudah siap dilipat ditempatnya.
“Boleh buat pulut panggang ke, bonda? Pulut kuning tu.” Tanya Nita yang sudah bersedia menunggu bonda untuk turun.
Ayah yang berdiri disebelahku memandangku.
“Tengoklah orang perempuan kalau bersembang.” Kata ayah yang turut beriringan denganku turun ke bawah. Kami ke ruang tamu sementara menunggu Nita dan bonda menghidangkan makanan. Nenda turun kemudian.
“Assalamualaikum.” Satu suara memberi salam.
“Dura!” Kata nenda sebaik saja mendengar suara itu. Dia nampak mengelabah.
Aku pandang ayah bila melihat nenda terkocoh-kocoh keluar menyambut Dura. Aku lihat ayah juga mengelabah. Serba tak kena.
“Kenapa ayah? Susah hati saja.” Tanyaku.
“Kamu tak tahu ke syarat Nita bagi?” Tanya ayah.
Aku geleng.
“Nita tak mahu tahu siapa bakal isteri kamu. Kalau dia tahu, dia akan bawa lari kamu dari kami.” Jawab ayah.
Terbuntang mataku.
Patutlah Nita tenang saja selepas memberi aku keizinan untuk mengikut rancangan gila nenda. Rupanya ada udang disebalik batu. Nampak macam dia mengalah tapi hakikatnya, dia menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
Aku senyum.
“Azril.” Sapa Dura. Lembut.
Aku jangka nenda tak mampu menghalang Dura dari masuk ke dalam rumah. Ditambah pula ada seorang lelaki turut masuk bersama mereka. Aku tahu nenda tak pernah menyatakan status diriku kepada Dura. Tentu saja nenda tak punya alasan untuk menghalang Dura dari masuk. Nak dihalau pun tak sopan terutama ada orang lain selain Dura.
“Kenalkan Azril, abang Dura, Amirul Mukmin.” Dura memperkenalkan aku dengan Amirul.
Kami berjabat tangan.
Aku segera naik ke atas. Tudung Nita aku ambil dan segera turun ke bawah. Aku lihat Dura sudah berada di dapur bersama Nita dan bonda. Aku nampak raut wajah bonda yang tidak senang.
Tanpa sebarang kata, aku berikan tudung kepada Nita. Bila Nita sudah pakai, baru aku keluar. Malas nak berlama-lama ditempat yang ada Dura walaupun ada Nita disitu.
Entah apa yang nenda berkenan sangat dengan Dura. Jika dibandingkan raut wajah, Dura lebih cantik jika kecantikan itu diukur pada warna kulit. Malahan, Dura nampak jauh lebih lembut jika nak dibandingkan dengan Nita kerana Dura berwajah keibuan.
Namun, pada penglihatan aku, Dura kalah segalanya kepada Nita. Raut wajah Nita tak lembut tapi penuh dengan kemanjaan. Kulit Nita yang kuning langsat itu lebih cantik di mataku. Wajahnya tak perlukan solekan yang tebal. Malah, jika tidak disolek, dia nampak lebih cantik.
Ya. Nita orangnya sangat tegas tidak seperti Dura. Kelembutan dan kemanjaan yang Dura tunjukkan kepadaku langsung tidak menggetarkan hatiku. Aku langsung tak rasa tercabar. Aku tahu, orang seperti Dura, sekali aku bersuara ajaknya kahwin, 1000 kali dia akan sudi.
Aku senyum senget.
Merata-rata aku boleh dapat. Jauh lebih cantik dari Dura, aku boleh pikat. Dengan kerjayaku, siapa yang tak mahu?
“Jom makan, semua.” Pelawa Nita. Tegas dan lembut.
Lenggok suara Nita langsung tidak merdu. Tapi dari lenggok suara itu aku tahu, aku boleh letakkan kepercayaan kepadanya untuk memelihara maruahku dan maruah dirinya sendiri.
“Jom, Amirul.” Ajak nenda.
Kami bergerak ke ruang makan. Nenda duduk ditengah. Bonda disebelah kiri nenda manakala ayah disebelah kanan nenda. Aku duduk disebelah ayah berhadapan dengan Dura. Manakala Nita duduk disebelah Dura berhadapan dengan Amirul.
Usai baca doa, aku lihat Nita memberikan isyarat mata menunjuk ke arah Amirul. Aku tak faham apa yang cuba untuk dia sampaikan. Aku lihat hanya beberapa suap pulut masuk ke mulutnya sebelum dia bangun. Takkan dah kenyang? Lagipun, banyak lagi pulut dalam pinggan Nita. Nita bukan jenis suka membazir makanan. Tapi?
Aku hairan. Lalu mengikutnya masuk ke dapur.
Nita memelukku dan teresak-esak didalam dakapanku.
“Kenapa?” Tanyaku sambil meletakkan tanganku diubunnya dan menolak kepalanya memandangku.
“Lelaki tu raba kaki Nita.” Jawabnya.
Perasaan marah terbit dihatiku. Sangat marah. Aku tak boleh nak kawal kemarahanku tika itu walaupun Nita cuba menghalang. Aku tak boleh sabar apabila maruah isteriku dicabul.
Aku keluar dan sedas penumbuk aku berikan kepada Amirul yang sedang mengunyah. Tersembur makanan dari mulutnya.
“Kau keluar sekarang. Jangan pernah datang rumah ni. Jangan tunjuk muka kau depan aku.” Hilang langsung sopanku kepada Amirul.
Itu hadiah yang perlu dia bayar kerana mengusik isteriku.
“Kenapa kurang ajar ni, Azril?” Jerit nenda sambil cuba menghalang aku dari memberikan sedas lagi penumbuk di muka Amirul yang langsung tak ada perasaan bersalah.
“Tanya dia. Apa dia buat pada Nita.” Jawabku. Suaraku sama tinggi dengan nenda.
“Buat apa? Usik sikit saja. Itu pun nak marah. Kaki saja. Tak luak pun.” Balas Amirul.
Jawapan balas Amirul itu buatkan marahku makin tinggi. Dasar jantan. Langsung tak sesuai maksud namanya dengan perangainya. Ini dikatakan pemimpin orang mukmin? Mana ciri-ciri pemimpinnya? Langsung tak layak!
“Azril, pandang Nita.” Nita berdiri didepanku dan mencekak daguku. Dia menarik wajahku memandang tepat matanya.
“Sabar. Sabar tanpa batas.” Pesannya.
Aku tolak Nita ke tepi bila aku lihat Amirul senyum. Terasa kelakianku dicabarnya. Nenda juga aku tolak ke tepi dan aku cengkam kolar baju Amirul. Aku tariknya ke pintu rumah dan menghumbannya keluar. Langsung aku abaikan jeritan nenda dan Dura yang marahkan aku.
Saat aku bersedia untuk berikan sedas lagi tumbukan ke muka Amirul, Nita datang memelukku. Dibisikkan kalimah istighfar ke telingaku. Kemudian Nita berselawat sambil mengusap belakangku.
Serta merta aku rasa tenang. Aku leraikan pelukan kami. Aku ingin duduk. Rasa penat.
Baru ketenangan mahu menghampiri, aku dengar bunyi tamparan. Bila aku angkat wajah, pipi Nita sudah memerah. Segera aku bangun dan memeluk Nita. Pandanganku tajam ke arah Dura.
“Tak habis lagi ke? Tak cukup abang kau buat onar? Kau pun sama?” Langsung hilang bahasa sopanku dengan Dura.
“Kenapa Azril nak bela betina ni?” Tanya Dura sambil cuba untuk meleraikan pelukan aku dan Nita.
Pang!
Kali ini aku benar-benar terkejut. Bonda menampar Dura. Wajah bonda kemerahan. Pertama kali aku lihat wajah bonda begitu. Pertama kali.
“Siapa yang Dura panggil betina tu? Jaga adab. Jaga diri. Jangan sedap mulut nak membahasakan orang.” Kata bonda.
“Kenapa bonda marah Dura? Sepatutnya bonda marah mereka berdua ni. Mereka berpelukan. Melakukan maksiat depan mata bonda.” Kata Dura.
“Siapa buat maksiat? Siapa? Azril dan Nita tu...”
“Sudah! Dura, balik sekarang!” Nenda memotong kata-kata bonda.
“Nenda!” Protes Dura.
Nenda menarik tangan Dura keluar. Walaupun Dura memprotes, tapi tetap juga mengikut nenda keluar.
“Wifey, pergi naik atas. Kemas barang. Kita balik. Lusa ikut saya pergi Touluse. Kalau perlu, kita menetap terus di sana.” Kataku saat nenda masuk ke dalam rumah.
“Azril!” Ayah, bonda dan nenda memanggil namaku serentak.
“Keputusan saya muktamad. Orang boleh usik saya tapi tidak sampai menjatuhkan maruah isteri saya. Tindakannya itu melampau. Selagi nenda tetap dengan keputusan nenda untuk saya masuk dalam keluarga tu, saya pun tetap dengan keputusan saya untuk terus menetap di sana.” Itu kata muktamadku.
“Tapi...” Nita cuba membantah.
Aku memandangnya tepat.

Segera dia naik ke atas. Aku bukan seorang pemarah tapi jika aku marah, Nita sendiri tahu apa akan jadi. Dan aku bukan seorang yang tegas macam Nita, tapi jika aku kata keputusan aku muktamad, bermakna itu saja. Tak ada lagi perbincangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan