SUBSCRIBE

Rabu, Januari 03, 2018

Cinta? Semak! 15

“Fir, Aya lupa nak cakap. Tak lama lagi, ada orang akan gantikan Aya. Aya dah minta Rayqal carikan pengganti. Aya suruh dia cari yang lelaki. Nanti Aya train dia dulu macam mana nak jaga Fir.” Kata Dila sambil mengelap tangan Firdaus.
“Bukan Aya dah penat jaga Fir. Aya tak mampu, Fir.” Tanpa sedar, air mata Dila mengalir.
Dila senyum segaris. Tangan Firdaus diletakkan dipipinya. Dilap air matanya dengan tangan Firdaus.
“Aya ingat, Aya kuat. Tapi rupanya, Aya lemah.” Sambung Dila.
Dia terus membaringkan dirinya disebelah Firdaus. Diletakkan kepalanya dibahu Firdaus. Lantas dipeluknya tubuh kaku itu. Tangan Firdaus diletakkan dipinggangnya.
Air mata Dila terus mengalir. Tenggelam dengan perasaannya.
“Astagfirullahalazim! Dila!” Jeritan Mak Bedah itu segera buat Dila bangun.
“Kenapa, Mak Bedah?” Tanya Dila.
“Kau buat apa? Berpelukan dengan Tuan Firdaus. Kau dah gila ke?” Tanya Mak Bedah. Marah.
Dila diam. Dia pandang Firdaus. Tika itu, dia harap Firdaus sedar.
“Selama ni, kau tidur sebelah Tuan Firdaus, Mak Bedah tegur saja. Tapi kau langsung tak dengar. Sekarang ni, kau peluk dia? Ke memang selama ni, kau selalu peluk dia? Cuma hari ni saja Mak Bedah dapat tangkap? Ha?” Mak Bedah terus menghemburkan kemarahannya.
Maksiat berlaku depan mata. Mak Bedah tak tahu nak buat apa. Haikal berada di Kalimantan atas urusan kerja dan hanya akan balik minggu depan. Engku Da pula tentu sibuk dengan urusan perniagaan abangnya. Lagipun, Engku Da jauh. Terlalu jauh.
Mak Bedah terus keluar dan turun ke bawah. Nombor Puan Saleha terus dicarinya. Bila jumpa, dia terus mendail nombor tersebut.
“Puan, boleh balik rumah sekarang?” Tanya Mak Bedah sebaik saja menjawab salam yang dihulurkan.
“Kenapa, Kak Bedah?” Tanya Puan Saleha.
“Balik sekali dengan Tuan Raja. Sekarang.” Kata Mak Bedah dan terus meletakkan ganggang telefon.
Dia naik semula ke atas. Bilik Firdaus.
Dia lihat, Dila tenang saja. Masih lagi duduk diatas katil dengan Firdaus. Melakukan tugas hariannya. Sedikit pun tak ada rasa bersalah atau berdosa. Ketenangan Dila itu, benar-benar buatkan dia naik marah. Namun, dia tahan perasaannya dari terhembur. Biarlah tuannya saja yang menilai.
“Mak Bedah, saya dah siap bersihkan Firdaus. Nanti, Mak Bedah ajarkan budak yang akan ganti Dila nanti.” Kata Dila.
Dia sudah siapkan kerjanya. Barangnya yang ditinggalkan disini juga, sudah dikemaskan. Dia mahu pulang. Dia tahu, ini adalah hari terakhir dia boleh duduk didalam bilik ini. Rasa sebak dan sedih, ditahan.
“Saya minta maaf, Mak Bedah.” Kata Dila sambil menghulurkan tangannya kepada Mak Bedah.
Dia senyum hampa bila tangannya tidak disambut.
“Dila nak pergi mana?” Tanya Puan Saleha yang baru tiba.
Raja Mukhriz yang turut bersamanya juga memandang Dila dengan pandangan yang pelik terutama bila melihat Dila memegang beg besar.
“Dila pinjam beg ni. Nanti, Dila suruh Rayqal hantarkan. Dila berhenti kerja hari ni.” Kata Dila.
“Kenapa? Tak ada sesiapa pun bagitahu yang Dila nak berhenti hari ni?” Tanya Raja Mukhriz.
“Biarkan dia, tuan. Orang dah buat salah, memang patut keluar dari rumah ni.” Luah Mak Bedah.
“Kenapa ni, Kak Bedah?” Tanya Puan Saleha. Pelik bila Mak Bedah menghalau Dila walhal hubungan mereka berdua rapat.
“Saya dah tak nak menanggung dosa maksiat. Selama ni, saya diam bila dia tidur sekatil dengan Tuan Firdaus. Tapi bila dia berpelukan dengan Tuan Firdaus, saya rasa dah sangat melampau.” Kata Mak Bedah.
“Apa salahnya?” Tanya Raja Mukhriz.
“Tuan? Apa salahnya?” Mencerlung mata Mak Bedah.
“Bedah…”
Namun, kata-kata itu mati bila menerima isyarat dari Puan Saleha untuk dia berhenti dari berkata-kata. Raja Mukhriz diam.
“Dila, tak payah sampai nak berhenti. Lepas ni, lebih berhati-hati. Jangan jadi lagi kejadian ini. Kami suka Dila. Kami suka Dila jaga Firdaus. Kami senang kalau Dila jaga Firdaus. Dila buat saja kerja Dila. Tapi make sure, benda ni tak jadi lagi.”
“Apa jadi dengan orang dalam rumah ni? Suka nak menanggung maksiat? Ha?” Marah Mak Bedah.
“Bukan macam tu, Kak Bedah.” Puan Saleha cuba untuk menerangkan keadaan.
“Sudahlah. Saya tunggu Engku Da balik. Biar saya ceritakan pada Engku Da. Biar dihalaunya budak ni dari sini. Entah apa yang Puan dan Tuan Raja fikir. Sampai sanggup pejam mata saja dengan semua maksiat ni.” Kata Mak Bedah dan terus turun ke bawah dengan menggunakan tangga.
Mulutnya tak henti-henti membebel.
“Sudahlah, Dila. Letak balik semua barang Dila.” Kata Puan Saleha.
Raja Mukhriz turut angguk.
“Tapi…”
“Kami tahu kebenarannya.” Kata Raja Mukhriz.
Dila kerut dahi.
“Tak apalah. Dila pergi rehat. Nanti kita fikirkan caranya.” Kata Raja Muhkriz.
Puan Saleha angguk.
“Apa yang Puan dan Tuan tahu?” Tanya Dila.
“Apa yang Dila dan Firdaus tahu.” Jawab Puan Saleha dan terus keluar dari bilik Firdaus. Dia turut menarik suaminya untuk keluar.
“Kita buat benda yang betul, kan? Kita tak hancurkan masa depan Dila, kan?” Tanya Puan Saleha.

“Insya Allah. Andai apa yang kita risau tu terjadi, kita fikirkan cara untuk tolong Dila.” Balas Raja Mukhriz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan