SUBSCRIBE

Rabu, Mei 11, 2016

SEMBANG JIWA 8

"Assalamualaikum..." Satu suara memberi salam didepan halaman rumah. 
Encik Khir keluar melihat orang yang memberi salam tadi. Dilihatnya ada sekumpulan manusia yang sedang berpakaian kebangsaan Malaysia. Yang perempuan berbaju kurang manakala yang lelaki berbaju batik.
Formal sangat.
"Waalaikummussalam warahmatullah. Jemputlah naik. Masuk dalam rumah." Jemput  Encik Khir.
Tetamu datang bawa rezeki. Maka kenalah jemput rezeki itu masuk dalam rumah. Takkan nak biar diluar saja. Tak masuk rezeki tu nanti. Rugi kita. 
Tetamu yang terdiri dari 3 orang wanita dan seorang lelaki itu masuk ke dalam rumah. Encik Khir bersalaman dengan tetamu yang lelaki. 
"Allah, Mad. Ingatkan siapalah yang pakai cantik-cantik ni." Kata Encik Khir. 
Dia yang tidak memakai kaca matanya jadi rabun bila melihat object dari jauh. Bila sudah dekat baru nampak. Ahmad. Jiran sekampung. Bapa Adam. Mereka semua ketawa.
"Yalah. Siapa lagi." Balas Encik Ahmad.
Encik Khir sekali lagi mempersilakan semua tetamunya masuk. Dipanggilnya si isteri untuk menyambut tetamu perempuan. Manakala anak-anaknya semua disuruh menyiapkan hidangan untuk tetamu yang hadir.
"Ni yang pakai cantik-cantik ni. Nak kemana?" Tanya Encik Khir.
"Kenalah cantik. Nak buat urusan rasmi. Nak pinang anak dara dalam rumah ni." Kata Encik Ahmad. 
Encik Khir dan isterinya berpandangan sesama sendiri. Siapa yang mereka maksudkan? Anak daranya yang masih ada cuma 2 orang. Yang seorang tu, rapat dengan Adam. Yang seorang lagi tu, menyampah dengan Adam. 
"Untuk siapa dan dengan siapa?" Tanya Encik Khir.
"Untuk anak teruna kami, Adam. Nak dipinang Hidayati. Biasalah Khir. Mula-mula kawan. Lepas tu bercintalah pula." Balas Encik Ahmad sambil ketawa halus.
Hadirin yang datang juga turut sama ketawa kecil. Entah apa yang lawaknya. 
Sekali lagi Encik Khir dan isterinya berpandangan sesama mereka. Ada gelisah diwajah mereka. Mahukan tidak. Hidayati walaupun belum bertunang tapi sudah pun dirisik orang. Tuan badan pun mahu tapi atas faktor tertentu buatkan semua itu terbantut sehingga sekarang.
"Kami datang ni sebagai formaliti. Mula-mula risik. Nanti kami datang untuk tunang pula. Mengikut adat melayu. Lagipun, itu yang Adam nak. Katanya Yati minta untuk buat macam tu." Tambah Puan Lela, ibu Adam.
"Kalau ikut kami, kami datang untuk tunang dan terus tetapkan tarikh nikah. Mereka pun dah kenal lama dah. Nak tunang lama-lama pun, nak buat apa. Kan?" Sambung Encik Ahmad.
"Lagipun, benda yang baik tak elok ditangguh-tangguhkan." Tambah seorang dari tetamu. Tak pula Encik Khir kenal.
Hidayati dan Afina masuk ke ruang tamu. Membawa air dan sedikit juadah untuk tetamu. Hidayati menghidangkan air teh yang dibuatnya kepada tetamu. Dituangkan air ke dalam gelas dan dihidangkan di depan tetamu yang ada. Afina pula hanya meletakkan air basuh tangan dan kuih lepat pisang yang dibuat Puan Mariah pagi tadi.
"Jemputlah." Jemput Hidayati.
Dia dan Afina kemudiannya duduk bersimpuh di bawah. Bersebelahan Encik Khir. 
"Benda macam ni memang tak baik ditangguhkan tapi biarlah saya berterus-terang. Saya suka dengan Adam tu. Memang dari kecil saya harap Adam tu jodoh Yati. Tapi bila saya tengok Adam pun tak ada nak masuk meminang atau pun melamar Yati macam budak-budak sekarang duk buat tu, saya ingatkan Adam tak ada hati pada Yati. Berkali-kali sebenarnya saya bagi hint pada Adam untuk masuk pinang Yati. Tapi sampai kesudah dia tak masuk meminang. Hari ni baru nak hantar merisik." Encik Khir berhenti menarik nafas. 
Kesal sebenarnya kerana Adam lambat bertindak. Dia memang sukakan Adam sebelum berjumpa dengan Harith tapi kini dia rasakan Harith lebih layak untuk jaga Hidayati dan keluarga ini berbanding Adam bila dia tiada nanti. Memang sudah berkali-kali dia berpesan pada Harith untuk menjaga keluarga ini bila dia sudah tiada. Anak-anak yang lain juga lebih suka Harith berbanding Adam. Terutamanya Afina.
"Sayangnya, dua tahun lepas sudah ada yang merisik dan datang membawa rombongan meminang. Sejak tu, saya pun tak ada hint Adam apa-apa. Jadi bila dia hantar rombongan merisik hari ni. Terkejut pula jadinya." Kata Encik Khir. Berterus-terang. Tak mahu berselindung dan memberi harapan.
"Hidayati dah bertunang? Tak tahu pun." Tanya Puan Lela.
"Bukanlah bertunang betul-betul. Sampai sekarang kami masih dalam tempoh memikirkan tapi saya pun sudah anggap Harith tu macam anak saya. Saya terima dia. Baik dan buruknya. Yati pula masih nak tetapkan hatinya untuk terima Harith." Jawab Puan Alia.
"Tapi Adam tak kata pun yang Hidayati dah bertunang atau sudah dirisik orang." Kata Encik Ahmad.
"Adam tak tahu pun. Benda ni kami buat antara kami sekeluarga. Tak melibatkan orang luar. Keluarga kami saja yang tahu. Saya pun tak ada cerita dengan Adam." Balas Hidayati.
"Adam pun baru minggu lepas dia bagitahu yang dia sayang saya. Tapi saya sudah bagitahu dia yang saya anggap dia kawan. Dia kawan baik saya, Pakcik, Makcik. Dunia akhirat. Saya dah terang pada dia perasaan saya pada Harith. Tiba-tiba dia minta Pakcik dan Makcik datang untuk merisik. Saya pun tak sangka." Sambung Hidayati.
"Lagipun pakcik. Makcik. Dalam Islam, sememangnya hal bertunang itu hanya untuk pengetahuan keluarga terdekat saja. Tak perlu nak hebahkan kerana jika dihebahkan, andai pertunangan itu putus ditengah jalan, malu nanti." Tambah Afina.
"Saya minta maaf pada Mad dan semua. Saya betul terkejut. Kalau saya tahu kamu nak datang, saya ceritakan dulu kisah ni. Supaya tak ada siapa datang untuk pinang anak dara saya ni." Kata Encik Khir.
Tangannya sudah diletakkan dibahu Hidayati.
"Tak apa, Khir. Kami yang datang tanpa dijemput. Main terjah saja." Kata Encik Ahmad. Bunyinya seperti berjauh hati.
"Kami sekeluarga benar-benar minta maaf. Kalau dia datang lebih awal, saya terima walaupun Yati tak nak. Sebab saya memang suka benar dengan Adam tu. Tapi ada orang dah booking dia. Dia pun dah suka orang tu. Saya sebagai bapa, tak rasa perlu nak halang hubungan mereka." Terang Encik Khir.
Dia risau sebenarnya.

Bukan sekadar risaukan hubungan baik dia dengan Encik Ahmad tetapi juga antara Hidayati dan Adam. Dia tahu perangai Adam itu. Kalau dia kata nak. Dia akan hendak. Tidak dikira apa pun. Dia pasti akan cuba sedaya mungkin untuk mendapatkannya. Hidayati pun sama. Dan itulah yang membuatkan dia risau. Takut Adam dan Hidayati berantakan hanya kerana perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan