Aku dan Azril duduk bersandar didinding bilik. Kaki kami
berlunjur. Mataku terarah ke lunjuran kaki kami. Membezakan warna kulit kaki
kami. Putih melepak dan kuning langsat. Kemudian pandangan aku beralih pada
genggaman tangan kami yang sedang menyimpul satu sama lain. Aku pandang dia
yang berada disebelah kananku.
Aku senyum.
“Alhamdulillah. Nikah juga kita.” Katanya.
Aku ketawa halus.
“Alhamdulillah, tiga bulan saja bertunang. Kalau lama
lagi, I cannot brain what will happen to me. Hari-hari nervous. Takut awak
minta putus.” Katanya sambil mencium tanganku yang berada di dalam genggamannya
itu.
Ketawa aku sedikit kuat dari tadi.
“Alhamdulillah.” Aku turut bersyukur.
Sejak sah bergelar suami isteri, dia sentiasa disebelahku
kecuali bila ada sesuatu yang menjadi sebab untuk kami berpisah. Bila bergabung
semula, tanganku akan sentiasa digenggamnya. Rasa diri begitu dihargai dan
dicintai.
“Nita, mungkin saya lupa nak cakap. Saya cuma lelaki
biasa. Harapan saya pun biasa saja. Saya nak jadikan rumahtangga kita seperti
taman-taman syurga yang penuh dengan rahmat dari Allah. Dan impian ini hanya
boleh dicapai dengan bantuan awak, isteri saya.” Katanya.
Aku angguk.
Bukan kali pertama dia cakap. Sejak dari kali pertama aku
menyalami tangannya, dia dah cakap benda yang sama. Sewaktu dia memakaikan
rantai dileherku sebagai tanda perkahwinan kami, dia katakan sekali lagi. Dan kini,
dia ulang semula perkara yang sama.
“Saya takut saya tak mampu berikan apa yang awak minta.
Jadi, saya minta untuk awak terus bersabar. Saya cuma lelaki biasa, Nita. Tak
ada daya upaya melainkan dengan izin Allah. Jadi, saya minta, terus berdoa yang
terbaik untuk keluarga kita.” Pesannya lagi.
Aku angguk.
“Nita, saya mungkin tak selalu ada dengan awak tapi saya
yakin Allah jaga awak untuk saya. Terus terang saya katakan, saya seorang suami
yang sangat cemburu. Jadi, saya mohon, jaga maruah saya sebagai suami awak.
Jaga maruah awak sebagai isteri saya. Insya Allah, saya buat perkara yang
sama.” Katanya lagi. Mendalam dan aku rasa satu amanah berat untukku.
“Banyaknya pesanan awak.” Kataku. Sekadar mahu
berseloroh.
“Isteri adalah amanah Allah paling berat kepada suami.
Tapi dalam berat itu, ada terselit kebahagiaan dan ketenangan bagi mereka yang
memelihara.” Balasnya.
“Saya tahu.” Aku memegang pipinya.
Dia menangkap tanganku yang berada dipipinya.
“Jom kita bercinta.” Dia merenung tepat ke mataku.
“Sekarang dah boleh cakap melayu, ek?” Balasku tanpa
memandangnya.
Dia ketawa.
“Lepas kena tegur dengan tunang, kenalah berubah. Sampai
kawan-kawan pelik bila saya cakap Bahasa Melayu dengan mereka. Susah tau. Saya
dah biasa speaking dari kecil. Cuma bila dengan tok ayah dulu saja saya
bercakap Bahasa Melayu. Sebab tok ayah tak suka cakap Bahasa Inggeris. Semangat
nationalisme.” Katanya masih bersisa ketawa.
Aku senyum.
“Bagusnya bekas tunang saya ni. Belum kahwin dah dengar
cakap. Harap dah kahwin ni pun dengar cakap.” Kataku.
Dia angguk.
“Insya Allah.”
“Pesanan pertama seorang isteri. Ingat perjanjian yang kita
dah setuju.”
“Apa?”
“First night in our own house.”
“Yup.”
“Pesan kedua.”
“Ehhem.”
Dia pandang aku. Tajam.
Aku senyum. Menahan tawa.
“Saya pun kuat cemburu. Jangan uji cemburu saya.”
“Insya Allah.”
“Boleh kita tidur? Dah pukul 5 pagi ni.” Rayuku sambil
melihat jam didinding bilik.
Aku benar-benar mengantuk saat ini. Sudahlah tidur dah
lambat kerana mengemas rumah selepas kenduri kami. Tidur tak sampai sejam, dia
sudah bangun. Katanya, tak boleh tidur kerana susah hati. Bila ditanya kenapa,
dia hanya menggeleng. Oleh itu, aku temankan dia bangun solat sunat malam dan
berlanjutan bersembang hingga sekarang.
“Tidurlah. Saya tunggu waktu Subuh.” Katanya dan menarik
aku agar melapikkan kepala ke diribanya. Ubunku diusap dan sesekali diciumnya.
Aku pejamkan mataku tapi tak mampu untuk lelap walhal aku
sudah sangat mengantuk. Aku buka mataku semula dan mendapati dia sedang
merenungku dengan pandangan yang sarat dengan rasa cinta.
Aku teringat kata abah. Dia punya ciri-ciri lelaki yang
aku idamkan. Dia romantik dengan caranya yang tersendiri. Dari pesan-pesannya,
aku tahu dia seorang yang memelihara agamanya. Dan dari sentuhan yang dia
berikan, aku tahu, dia cintakan aku sepenuh hatinya.
‘Allah, aku mohon rumahtangga yang aman dan tenang. Yang
terhindar dari syaitan yang direjam. Aamin.’ Doaku di dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan