Aku membuka mata. Haruman dari rambut Nita masih dapat aku
hidu. Nita juga masih di dalam dakapanku. Ucapan syukur dipanjatkan kepada
Ilahi.
Aku meleraikan pelukan. Duduk di atas katil sambil
membaca doa bila mengalami mimpi buruk. Kemudian, aku meludah ke kiri sebanyak
tiga kali. Mengikut amalan Rasullullah s.a.w selepas mimpi buruk.
Mimpi ini betul-betul ngeri. Lebih ngeri dari mimpi
berjumpa hantu. Alhamdulillah, hanya mimpi. Jika benar terjadi, aku rasa, aku
akan jadi gila. Dalam mimpi itu, jelas, aku jadi lelaki bodoh. Bodoh kerana
terlalu ikutkan keadaan tanpa mampu membaca hati insan yang aku cintai. Bodoh
kerana aku gagal dalam mendidik isteri kedua untuk menjadi mukminah sejati.
Dan aku tak mahu jadi bodoh.
Aku pandang ke selebah kananku. Wajah Nita menyapa mata. Aku
mengalihkan kedudukan. Berbaring menghadap Nita yang sedang nyenyak tidur. Perlahan
wajah itu aku usap lembut. Rasa syukur masih tidak putus aku panjatkan kepada
Allah kerana memberikanku mimpi yang menyakitkan itu. Dan rasa syukur kerana ia
sekadar mimpi. Hakikatnya, Nita masih isteriku. Satu-satunya isteri yang aku
ada. Dengan mimpi itu, makin bulat tekadku untuk tidak mengikut rancangan
nenda.
Aku senyum memandang wajah Nita. Aku kucup dahi, hidung,
pipi dan bibirnya. Berhati-hati agar dia tak terjaga dari tidurnya kerana aku
masih belum puas menatap wajahnya. Wajah yang menarik perhatianku saat pertama
kali aku lihat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sewaktu hari pertama aku mula
bertugas sebagai juruterbang.
Dan wajah ini yang sentiasa mengganggu fikiranku sejak
pertama kali itu. Wajah tanpa perasaan. Tingkahnya tika itu yang sedang melihat
jam di tangan. Aku rasa dia sangat seksi waktu itu walaupun tidak nampak
langsung auratnya. Wanita bertudung dan berpakaian longgar itu betul-betul
mengganggu hidupku.
Bila bayangannya sudah mula pudar dari ingatan, sekali
lagi aku terserempak dengannya. Aku terpaku. Bila akalku berjaya berfungsi dan
menghantar arahan supaya aku pergi mendekatinya, satu insiden berlaku. Dan dia
juga telah hilang dari pandanganku.
Kali ketiga terserempak, aku tak lepaskan peluang. Niat
untuk menzirahi kawan, aku batalkan. Aku ikut keretanya dari Shah Alam ke
Pelabuhan Klang. Tika itu aku fikir, sekurang-kurangnya, aku tahu rumahnya
walaupun tak tahu namanya.
Bila tidak bertugas, aku pasti akan pergi ke rumahnya.
Hanya memandang rumahnya sambil menunggu dia keluar atau masuk ke rumah. Bila
saja aku nampaknya, rinduku sudah terubat. Lepas tu, aku balik. Cukuplah untuk
hilangkan rasa rindu untuk seketika.
Hinggalah suatu hari, aku beranikan diri menceritakan
keadaanku kepada ayah dan bonda. Dan aku minta ayah dan bonda agar merisik dan
meminang wanita itu. Aku sudah tidak mahu lagi menahan rindu. Aku takut
dosa-dosa yang aku kumpul kerana merindui dia yang tidak halal untukku.
Tapi jawapan ayah lain. Kata ayah,
“Kamu anak lelaki. Kena berani. Ayah nak kamu pergi
perkenalkan diri kamu kepada orang tuanya. Kemudian minta izin untuk meminang
anak dara mereka. Andai mereka setuju, barulah urusan seterusnya menjadi urusan
kami. Boleh buat?”
Selepas sarapan pagi itu, aku keluar untuk membuat
tugasan yang ayah suruh. Anak lelaki. Pantang dicabar. Ditambah pula hati sudah
berkenan. Rindu sudah menggunung.
Saat aku tiba di rumah itu, aku lihat seorang lelaki
keluar dari rumah. Dia sedang membuka pagar rumah untuk mengeluarkan keretanya.
Aku letakkan keretaku menghalang laluan keluar masuk rumah itu. Aku keluar dan
memberi salam. Dengan mesra salam aku dibalas.
Walaupun air muka lelaki itu garang tapi dari cara dia
menjawab salam sudah melegakan hatiku. Aku tahu dia seorang lelaki budiman. Dan
dari usianya, aku teka, itu bapa kepada wanita pujaan hatiku.
Tanpa memperkenalkan diri terlebih dulu, aku terus
menawarkan diri untuk menjadi pemandu lelaki tersebut. Dengan niat mahu
bercerita sewaktu dalam perjalanan tapi satu patah kata berkenaan wanita itu
langsung tak keluar. Tak tahu bagaimana mahu bercerita.
Sehinggalah kembali ke rumah dan dijemput masuk.
Diperkenalkan kepada ahli rumah itu. Aku masih lagi tidak mampu menyatakan
hasrat hati. Sehinggalah wanita itu menjelma betul-betul didepan mataku.
“Ini anak Pak Ya nombor tiga. Zahiyanita Zainul Ariffin.”
Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Pak Ya itu memperkenalkan wanita
pujaanku kepadaku.
Dan yang paling buat aku terperanjat, bila Pak Ya berkata
kepada anaknya,
“Nita duduk dulu. Berkenalan dengan bakal suami kau ni.”
Tanpa aku duga, Allah berikan petunjuk kepada abah
sebelum ketibaanku. Abah kata, seminggu sebelum aku datang, abah mimpi. Ada
seorang lelaki akan datang meminang Nita. Dan bila aku datang, terdetik dihati
abah yang aku adalah lelaki itu.
Sebelum abah beri kebenaran untuk keluarga aku datang
meminang, abah ada pesan supaya aku fikirkan semula keputusan aku. Kerana, kata
abah,
“Suka dan cinta semata-mata, tak cukup untuk handle
seorang Nita, Azril.”
Namun, aku tekad. Aku mahukan Nita menjadi suri dihatiku.
Menjadi makmumku. Menjadi ibu kepada anak-anakku. Dan paling utama, menjadi
wanita yang halal untuk aku. Kerana aku terlalu mencintainya.
Seminggu kemudian, ayah, bonda dan nenda datang bertandang
ke rumah mereka untuk merisik. Tapi abah kata, terus saja ditunangkan. Tak
perlu buat majlis. Cukup sekadar keluarga saja yang tahu. Tak lama pun kami
bertunang. Aku minta agar dipercepatkan majlis pernikahan kami. Kalau ikut aku,
aku mahukan pertunangan selama sebulan saja. tapi abah minta tiga bulan untuk menyediakan
kelengkapan majlis kenduri kahwin kami.
Dan dalam tempoh tiga bulan itu, aku rasa nak menangis
dengan perangai Nita. Bukan dia berperangai tak semenggah. Cuma dia masih tak
tetap pendirian. Sama ada mahu menerimaku atau memutuskan pertunangan kami.
Namun, syukur. Allah memang jodohkan aku dengan Nita.
Bertapa aku bersyukur kerana akhirnya Nita tetapkan keputusan untuk terima aku
seminggu sebelum majlis pernikahan kami tanpa apa-apa sebab. Dia menerima seadanya
aku tanpa mengetahui latar belakangku. Dia langsung tak pernah bertanyakan
tentang aku. Dia dengan tanggapannya sendiri. Langsung tak pernah bertanya.
Kadang-kadang buat aku tertanya-tanya.
Benarkah dia benar-benar menerima aku?
Hatiku dipujuk oleh abah. Abah kata,
“Itu cara Nita. Dia memang fail bab nak cakap apa yang
dia rasa. Tapi tengok apa yang dia buat, kita tahu, apa yang dia rasa. Abah
tengok, dia manja saja dengan kamu. Cara dia pandang kamu. Malu-malu dia.
Itulah Nita.”
Dan ya. Sejak pertama kali aku memandangnya tepat ke mata
selepas kami diijab kabulkan, wajahnya akan memerah. Hingga kini, selepas 5
tahun berkahwin, Nita masih seperti itu. Kadang-kadang, boleh dengar degupan
jantungnya berbunyi. Dek kerana aku tenung wajahnya dalam. Bila aku senyum
menggoda, aku lihat betapa resahnya dia.
Aku senyum. Bahagia memiliki isteri yang unik dalam
meluahkan rasa cinta. Selama kami berkenalan, tak pernah sekalipun Nita
ungkapkan kata cinta itu. Walaupun berkali-kali aku mohon kepadanya agar
luahkan rasa itu. Namun, Nita tetap Nita.
Nita tak marah yang menengking atau meninggikan suara.
Tak. Nita bila dia marah kepadaku, dia diam. Langsung tak bersuara. Pandang aku
pun tidak walaupun aku didepan matanya. Marah dia adalah marah yang membunuh.
Membunuh jiwa raga. Dan hanya dia yang akan pujuk diri dia sendiri. Aku hanya
perlu tunggu sehingga dia kembali pulih sambil perbetulkan kesilapan yang telah
aku lakukan.
Sama dengan keadaan bila nenda menyuarakan rancangannya
untuk meminangkan aku seorang lagi isteri. Dia tak mengamuk tapi pelbagai cara
dia gunakan untuk gagalkan rancangan nenda. Sehingga dia minta aku supaya tak
masuk campur dalam peperangan antara dia dan nenda supaya aku tidak merumitkan
keadaan. Aku pun menyerahkan semuanya atas pertimbangannya.
Sehinggalah nenda menggunakan bonda untuk menyerang kami.
Saat itu, Nita dan aku terasa tewas. Dan kini, aku sendiri rasa benar-benar
telah tewas bila nenda kata, Nita izinkan aku berkahwin lain.
Dan bila bonda dan ayah sendiri yang menjadi saksi, aku
terpaksa percaya. Dan bonda pesan, Nita tak mahu lagi benda ni dibicarakan
dihadapannya.
Dan semenjak itu, Nita benar-benar berubah. Tak lagi
kemurungan dan termenung. Dia kembali menjadi Nita sebelum perkara ini
tercetus. Layanannya kepadaku juga masih sama seperti dulu malahan semakin baik.
Langsung isu aku dan rancangan nenda itu terkubur bila kami bersama.
Namun, yang merisaukan hatiku adalah nenda. Nenda dah mengambil
langkah-langkah yang lebih drastik untuk menyatukan aku dan pilihannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan