SUBSCRIBE

Selasa, Januari 23, 2018

Cinta? Semak! 35

Firdaus memeluk Adha yang baring disebelahnya. Tubuh Adha ditarik dan dibaringkan ke atas tubuhnya. Wajah Adha dipandangnya. Penuh rasa kasih dan sayang seorang bapa.
“Bonda selalu cerita pasal daddy.” Kata Adha.
“Bonda kata apa?” Tanya Firdaus.
Dia senyum. Adha kini sudah pandai bercerita dengannya. Jika mula dulu, Adha tak berenggang langsung dengan Haikal. Tidur pun, dengan Haikal. Bila dia sudah tidur, barulah Firdaus angkat untuk dibawa ke biliknya. Tapi bila bangun tidur, dia mesti akan cari Haikal.
Namun kini, Adha sudah rapat dengannya. Jika dulu dia masih takut-takut di dalam rumah ini, kini, dia bebas ke sana ke mari. Kecuali jika Engku Da ada. Itu pun, dia cuba memberanikan diri mendekati Engku Da.
“Bonda cerita macam-macam. Abang suka bonda cerita pasal daddy. Daddy baik. Abang nak jadi macam daddy.” Kata Adha.
“Macam tu, sekarang ni, daddy kena cerita pasal bonda pula lah.” Balas Firdaus.
“Tak nak. Abang dah tau pasal bonda. Tapi abang banyak tak tau pasal daddy.” Bidas Adha.
“Macam tu, abang kena duduk dengan daddy lama-lama. Baru abang boleh kenal daddy macam abang kenal bonda.” Balas Firdaus. Lembut.
Adha angguk.
“Bonda kata, sekarang masa abang duduk dengan daddy. Kalau orang tanya, mana bonda, abang kena jawab dalam hati abang. Bila orang tanya, siapa nama bonda, abang kena jawab Iyana. Kalau orang tanya lebih lagi, suruh dorang tanya daddy.” Kata Adha menceritakan perjanjian yang telah dibuat dengan Dila.
“Bijaknya anak daddy ni.” Puji Firdaus. Wajah Adha digomolnya.
“Daddy selalu rindu abang.” Luah Firdaus. Air matanya mula bertakung ditubir mata.
“Abang pun sama. Bonda pun sama. Bonda pun akan menangis bila bercerita pasal daddy. Bonda rindu daddy sangat-sangat.” Kata Adha.
Firdaus senyum. Rasa bersalah mula bersarang didadanya. Dia tahu, Dila bukan menangis kerana merinduinya. Tidak mungkin Dila merinduinya. Kerana Dila tak pernah katakan yang dia mencintainya.
“Bonda menangis sebab fikirkan masa depan abang. Macam mana kalau bonda tak jumpa daddy? Macam mana abang nanti?” Balas Firdaus.
“Abang!” Haikal meluru masuk ke dalam sebelum sempat Adha menjawab.
“Kenapa?” Firdaus dan Adha menyahut. Serentak.
“Hish… Susah betul kalau dua-dua Haikal panggil abang. Tukarlah. Adha panggil adik.” Rungut Haikal.
“Ayah Cu kan, daddy panggil adik. Hish…” Balas Adha.
Firdaus ketawa. Haikal garu kepala.
“Kita panggil abang kanda. Nak tak?” Cadang Firdaus.
“Perh…. Baru klasik. Macam cerita kesultanan Melayu Melaka.” Usik Haikal.
“Ayah Cu!!” Adha menarik muncung.
“Dah tu? Nak panggil apa?” Tanya Haikal. Memujuk.
“Panggil macam kawan-kawan abanglah. Jimmy.” Jawab Adha.
“Mana boleh. Tu nama Ayah Cu bila mengorat awek. Tak boleh.” Bantah Haikal.
“Kita panggil Adha. Nama Ayah Cu, Haikal Hazimi. Nama daddy, Firdaus Hazimi, nama Adha pun, Adha Hazimi. So, untuk fair, kita panggil Adha. Boleh?” Tanya Firdaus. Lembut.
Adha angguk. Haikal juga.
“Adik nak apa?” Tanya Firdaus.
“Adik nak ingatkan abang. Esok kita kena pergi daftar sekolah Adha. Bonda ikut.” Jawab Haikal.
Firdaus angkat kening.
Haikal angkat bahu.
“Nenda ikut?” Tanya Adha. Teruja.
Haikal angguk.
“Yeayy…” Adha melompat kegirangan.
Tak disangka, nenda yang selalu menunjukkan rasa benci kepadanya sanggup pergi untuk mendaftarnya ke sekolah. Hatinya berbunga. Terasa nendanya menyayanginya.
Firdaus dan Haikal berpandangan sesame mereka. Tak mahu mengecewakan hati Adha. Hakikatnya, mereka tahu, Engku Da pasti ingin memastikan identity Adha disembunyikan. Dan tentu saja, bonda mahu mencari ibu Adha, Dila.
Firdaus dan Haikal mengeluh.

Adha kerut dahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan