SUBSCRIBE

Ahad, Februari 19, 2017

GEMUK DURJANA 16

Semenjak balik dari Cameron Highland, aku dah tambah satu lagi aktiviti iaitu menemankan PA aku pergi belajar dan bergaul dengan orang-orang dalam dunia fotografi.
Mulanya aku cuma hantar kerana dia ajak teman kerana dia masih belum biasa dengan dunia Farina. Tak biasa dengan studio dan orang-orang didalamnya. Tapi bila dia dah biasa dan dah boleh bergaul dengan mereka, aku yang tak benarkan dia pergi ke tempat Farina tanpaku.
“Bos, apa kata kita jadikan hari sabtu as public holiday? Bekerja 5 hari seminggu. Ganjakkan masa bekerja. Sekarang ni pukul 9 pagi sampai pukul 5 petang, kan? Kita tukar sampai pukul 5.30 petang. Okey kan, bos?” Nisa beri cadangan.
Aku yang sedang menyemak sebuah profile syarikat di Google tersentak bila dia tiba-tiba bersuara dan berikan cadangan. Aku pandang dia. Dia sengih tayang giginya sambil buat muka comelnya.
Aku senyum.
Bukan aku tak tahu kenapa tiba-tiba dia buat cadangan tu. Farina ada bercerita dengan aku tentang aktiviti hujung minggu mereka bila tidak ada tugasan atau tempahan berbayar. Tentu saja cadangan Nisa itu ada kena mengena dengan aktiviti hujung minggu Farina.
“Tak boleh.” Terus aku bagi jawapanku.
Aku harap tiada lagi perbincangan. Aku benar-benar sibuk sekarang ni. Profile syarikat yang sedang aku teliti ini telah dimasukkan ke kategori penting. Aku akan bertemu dengan pemilik syarikat itu pada minggu hadapan. Makanya, sebelum apa-apa keputusan dicapai, sedikit rujukan perlu dibuat.
“Kenapa tak boleh?” Ada nada tak puas hati pada pertanyaannya itu.
“Tak boleh.” Aku mengeleng kepala sambil pen ditangan juga aku kibaskan.
“Bolehlah bos. Nak join geng sarung pergi cari bahan.” Katanya.
Aku geleng.
Tepat sekali jangkaan aku. Pasti ada kena-mengena dengan mereka. Geng sarung itu adalah sekumpulan manusia yang obses dengan dunia fotografi sama macam Nisa. Nisa berkenalan dengan mereka melalui Darwish, staf Farina.
“Bolehlah bos. Dawi kata syok. Jalan-jalan sekitar bandaraya KL atau mana-mana tempat dekat Selangor cari tempat shoot yang menarik. Kadang-kadang pergi ke luar Selangor dan KL. Bolehlah bos cuti hari Sabtu.” Pujuknya.
Darwish. Huh. Balik-balik Darwish. Sejak rapat dengan Darwish ni, asyik nama tu saja yang dia sebut. Hampir setiap hari nak ke studio Farina untuk berjumpa dengan Darwish. Bila dia dah jumpa Darwish, aku ni jadi tunggul saja dengar mereka berbual. Dia pun buat tak tahu saja dengan kehadiran aku. Macam aku tak ada saja.
“Bolehlah, bos...” Rayunya.
“Nope.” Tegasku.
Mata aku masih pada skrin laptopku. Namun fikiran aku sudah tidak disitu. Tumpuan aku benar-benar pada Nisa. Sengaja tak nak pandang dia sebab aku nak dia tahu aku ni tengah sibuk. Tapi dia buat-buat tak sedar pula kesibukan aku itu.
“Macam tu, bos ikut.” Cadangnya gaya tak puas hati.
Aku senyum. Senyum lebar.
“Kalau macam tu, boleh.” Kataku.
Terus pandangan aku menala kearahnya. Sambil tersenyum nakal. Dia mencebik. Maka makin lebar senyuman aku bila melihat mukanya saat itu. Comel sangat. Terasa makin nak menyakat tapi idea macam tak ada pula nak sakat dia.
“Abang Iwan bukan apa. Risau.” Tiba-tiba rasa nak mainkan peranan sebagai seorang kekasih.
“Nak risau apa. Ramai kat situ. Kalau nak mati, depan abang Iwan pun Nisa boleh mati.” Balasnya.
“Abang risau kalau hati Nisa teralih ke orang lain.” Kataku lembut.
Dia cebik lagi.
“Padahal abang yang nak jumpa kak Fina.” Cantasnya.
“Nisa, abang tak sukalah Nisa cakap macam tu. Abang Iwan kan dah ada Nisa. Tak wujud Farina atau sesiapa pun. Abang Iwan tak sukalah Nisa macam ni. Sejak akhir-akhir ni, Nisa suka jauhkan diri dari abang Iwan. Suka biarkan abang Iwan sendiri. Nisa sibuk dengan benda lain dan abaikan abang Iwan. Siap kenen-kenenkan abang Iwan dengan Farina lagi. Abang tak sukalah.” Aku sudah masuk dalam mood merajuk.
Terasa bangga dengan diri sendiri. Makin pandai melakonkan watak sebagai seorang kekasih sejati. Cuma orang depan aku tu macam makin kebal. Macam makin tak kisah dengan apa pun cara aku menggodanya. Dia makin banyak berubah. Makin pandai mengawal perasaannya agar tidak tercuit langsung dengan kata-kataku.
Kalau dulu, aku suka tengok dia senyum malu bila aku mengusik dia atau meluahkan kata-kata seorang kekasih tapi kini tindak balas dia lain. Seakan semua itu tidak ada kesan langsung dihatinya.
Kalau macam ni, macam mana misi aku nak menghancur lumat hatinya?
Kejap, bila pula aku kata aku nak hancur lumatkan hatinya? Misi aku memikat dia dan menggodanya. Lepas tu nak tinggalkan dia. Tak ada pun kata nak hancurkan hatinya.
Kalau dah tinggalkan dia bukan menghancurkan hati dia ke?
Tak. Lukakan saja. Luka boleh rawat. Nisa terlalu baik untuk disakiti. Tapi aku nak sakitkan hati dia juga sebab dia buat hidup aku serabut dengan permintaan Mami yang suruh pikat dia. Kalau dia tak menyesatkan dirinya ke rumah aku dulu, tak adanya Mami kenal dia. Dan tak adalah Mami nak berkenan dengan dia. Ini semua dia punya salah. Heret aku untuk sama-sama jadi bermasalah.
Apa? Terlalu baik untuk disakiti? Aku dah kenapa?
“Abang Iwan, dengar tak ni?” Nisa sudah berdiri dihadapan aku dan menepuk mejaku kuat.
Mahunya tak terkejut. Kuat tau dia tepuk meja aku. Tengoklah tangan dia tengah gengam tu. sakitlah tu. aku bukan tak tahu yang dia tak boleh melepuk orang dengan tapak tangan dia. Tapi kalau dia cubit, kalau tak terkoyak kulit, itu bukan Nisa.
‘Wah, Iwan. Sampai tangan dia sakit pun kau risau.’
‘Aku bukan risau, ambil berat.’
‘Dah pandai ambil berat pasal masa depan Nisa yang bakal kau hancurkan?’
“Abang Iwan ni asyik berangan saja. Dengar nama kak Fina saja, berangan. Suruh kahwin tak nak. Tapi pantang dengar nama kak Fina, mulalah nak senyum dan berangan. Macam mana Nisa tak kenen-kenenkan abang Iwan dengan kak Fina.” Suara Nisa memecahkan suara-suara sinis yang sedang memerli aku.
“Dia buat lagi. Kan abang Iwan dah cakap, Nisa tu segalanya untuk abang. Tak ada orang lain.” Tegasku.
“Ya sangat. Tapi bila dengar nama kak Fina asyik berangan. Asyik senyum. Ni, petang ni abang Iwan hantar Nisa balik awal ya. Malam ni nak pergi jumpa Dawi. Ada benda nak minta tolong dia.” Katanya.
“Benda apa?” Tanyaku.
Apa benda yang nak minta tolong Darwish. Selama ni aku kan yang selalu tolong dia. Apa yang Darwish boleh tolong tapi aku tak boleh? Sampai nak kena minta tolong orang lain.
“Kamera Nisa tu. entah kenapa dengan setting dia. Malam tadi Nisa dah betulkan pun tapi still gambar blur. Dah ikut apa yang Dawi ajar thru phone tapi still tak sharp.” Terangnya.
“Tangan Nisa shake kot.” Ulasku.
“Perh... Abang Iwan.... Ingat ini kamera telefon ke? Mahal weh Nisa beli. Dekat RM5,000. Dah guna berapa lama pula. Boleh pula sebab tangan shake. Hancur abang Iwan ni.” Kata Nisa.
Tengok. Macam mana aku tak risau hati dia beralih arah. Gaya bahasa dia pun dah terikut Darwish. Cepat sangat pengaruh Darwish masuk dalam hidup dia. Aku ni yang dah dekat setahun hidup dengan dia, tak ada pun pengaruh aku meresap masuk dalam hidup dia. Tapi bila Darwish. Tak sampai sebulan. Kejadah betul.
“Abang Iwan hantar.” Putusku.
“Ala, nanti abang Iwan bising. Lambatlah apalah.” Bantahnya.
“Habis tu kalau abang Iwan tak hantar, Nisa nak pergi sendiri? Balik dah malam. Lewat malam. Tau makna bahaya tak?” Geram pula aku dengan budak gemuk nilah.
Benda asas. Keselamatan diri tak pernah dia nak kisah. Main ikut suka hati dia saja. Dia dahlah tak boleh penat. Kalau penat tu jawabnya tidur. Kalau dah siang berkerja, malam nak kena pergi ke studio Farina di Petaling Jaya. Tak ke penat? Buatnya dia terlelap masa memandu? Tak ke bahaya? Itu belum lagi dengan masalah perompak, perogol dan segala macam 'pe' yang durjana.
‘Kau risaukan dia, Iwan?’
‘Ala, logiklah. Humanity. Kau ingat aku ni robot ke tak ada perasaan?’
“Ala, tak ada siapa nak culik Nisa. Kalau pun dia nak culik, mesti dia fikir banyak kali. Tengoklah badan Nisa yang gemuk ni. Tak lalu diorang nak angkat.” Jawab Nisa sambil menunjukkan bentuk badannya.
Dia ketawa.
“Lagipun, kak Fina tak ada. Nanti abang Iwan bosan. Tak ada siapa nak sembang dengan abang Iwan.” Sambungnya lagi.
“Abang kata abang hantar. Titik.” Kali ini aku betul-betul tegas supaya tak ada lagi alasan yang dia mahu berikan.
“Suka hatilah.” Katanya dan terus berlalu ke mejanya semula.
Aku senyum. Aku ska melihat dia merajuk macam tu.
Suka?
Sudahlah. Tak payah nak fikir yang bukan-bukan. Tak ada maknanya semua itu. Dia tu memang comel. Lukman pun mengaku akan kecomelannya itu. Jadi tak ada isu tentang aku suka tengok kecomelannya itu.
Lelaki mana tak suka tengok perempuan comel? Tapi suka bukan bermakna cinta. Bila tiada cinta, takkanlah aku suka dia sebab aku jatuh cinta. Sesuatu yang mustahil.

Aku takkan jatuh cinta pada wanita gemuk itu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan