SUBSCRIBE

Khamis, September 14, 2017

EHPW 26 : NITA

Rambutku sudah siap bersanggul. Solekan juga sudah siap beroles diwajah. Gaun paras lutut ini juga nampak seksi ditubuhku.
Sekali lagi aku membelek diri. Aku berpuas hati. Dengan kesegaran dari tubuh yang telah berspa sepanjang hari ni. Rasa segar dan cantik. Itu yang aku nampak pada diriku dicermin. Terasa macam orang lain. Penuh dengan semangat dan keyakinan. Berbeza dengan diriku yang dulu. Bagai Zahiyanita yang dilahirkan semula.
Aku senyum memandang diriku. Air mata terasa nak keluar. Aku tahan. Habislah solekan aku nanti kalau air mata mengalir. Kalau Azril mungkir janji seperti selalu, tak apalah kalau comot. Buatnya dia benar-benar akan pulang? Dah macam puntianak harum sundal malam pula.
Aku ketawa kecil dengan kata-kata hatiku.
“Assalamualaikum.” Suara Azril memberi salam saat pintu terbuka.
“Alhamdulillah.” Ucapku dengan suara kecil sebelum menjawab salamnya. Aku benar-benar rasa bersyukur kerana Azril menepati janjinya kali ini.
Sekali lagi aku membelek diri sendiri. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, aku berpaling untuk turun ke bawah menyambut kepulangan Azril. Namun, tak sempat aku melangkah walau setapak, mataku dan matanya sudah bertaut.
Dia menghadiahkan aku dengan sebuah senyuman yang selalu buat hati aku cair. Kalau aku marah, Azril cuma perlu berikan aku senyuman ini untuk buat aku tenang. Kalau emosi aku tak stabil, senyuman ini mampu memberikan keceriaan kepadaku. Aku membalas senyuman itu dengan penuh kesyukuran. Senyuman yang paling aku rindui.
Azril menghampiriku. Dia menolak lembut tubuhku agar menghadap ke cermin. Tubuhku dipeluknya dari belakang. Dagunya diletakkan di bahuku. Jari-jemari kami bertaut.
“Cantiknya wifey.” Komennya. Matanya terus menatap mataku melalui biasan cermin.
Aku senyum manis. Terasa bangga dipuji. Namun, segera aku pulangkan pujian itu kepada Yang Maha Terpuji. Sesungguhnya segala puji hanya layak untuk Allah.
“Nak kemana ni?” Tanyanya. Pipiku diciumnya.
“Sambut suami balik.” Jawabku.
‘Yang sudah 3 bulan tidak ketemu.’ Sambungku didalam hati. Sekaligus memudarkan kemanisan senyumanku.
“It’s good to be home.” Katanya. Pelukannya makin erat.
“I’m seriously deadly miss you so much.” Sambungnya. Dan makin dieratkannya pelukannya.
Aku diam. Air mataku tidak dapat aku tahan lagi. Benar. Aku juga rindukannya separuh mati. Namun, sebagai hamba Allah, aku kena kuat jalani hidupku tanpa dia. Aku sentiasa mengingatkan diriku. Ada banyak perkara yang boleh dilakukan agar aku boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Supaya bila ditanya di akhirat kelak, aku ada jawapan yang baik.
Lagipun, ini keputusan yang aku ambil. Aku kena bertanggungjawab sepenuhnya. Aku yang izinkan. Aku pun sudah menjangkakan perkara begini akan berlaku. Jadi, aku kena terima dengan berlapang dada.
“Habislah make up wifey. Menangis pula dia. Sepatutnya senyum. Happy.” Usiknya. Tangan kirinya masih dipinggangku. Manakala tangan kanannya menelap air mataku.
Aku memalingkan badanku. Menghadapnya. Aku lihat air matanya turut bergenang. Tunggu masa saja nak turun.
“Tak apalah. Tadikan hubby dah tengok. Cantikkan wifey hari ni?” Aku puji diri sendiri.
Dia angguk.
“Sangat cantik. Tapi selain jawapan sambut suami apa lagi alasan yang lain? Macam pelik saja.” Tanyanya.
Aku geleng.
“Entah. Bila hubby call kata nak balik malam ni, terus teruja. So, pagi tadi pergi spa. Buat pedicure medicure. Beli baju baru yang cantik dan seksi. Nak nampak cantik dan segar dihadapan suami. Mungkin sebab teruja. Suami nak balik malam ni. Kan? Cuma tulah tak tahu nak masak apa. Sebab dah tahu dah. Kalau dah malam hubby tak nak makan.” Ceritaku tentang aktiviti seharianku hari ini. Muka bersalah aku tunjukkan dihadapannya.
“I’m so sorry, wife. I do not mean to neglected you. It just, she need me more.” Katanya dalam nada bersalah.
Aku senyum. Kelat. Dah lama tak dengar dia bercakap Bahasa Inggeris denganku. Tapi sejak berkahwin lain, dia seperti lupa teguranku dulu. Teguran seorang tunang.
“I know you understand the situation perfectly. Really thank for it.” Sambungnya lagi.
Aku hanya mampu senyum. Aku faham tapi dia yang tak faham. Aku tahu wanita mengandung ada pelbagai ragam. Kalau boleh, nak suami sentiasa ada dengan dia. Mahu dibelai dan dimanjakan. Sentiasa. Tapi Azril? Dia faham aku?
Aku juga isterinya. Aku juga perlukan perhatiannya. Aku juga mahu dibelai dan dimanjakan suami. Walaupun aku tak pernah merungut tapi aku tetap manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Dia harap aku faham dia. Tapi dia? Fahamkan dia isi hatiku?
“Dahlah, hubby. Pergi mandi. Segarkan diri. Dah solat Isyak ke belum?” Potongku.
Aku tak mahu hatiku terus terguris dengan kata-katanya. Sebab dia tak pernah tahu yang aku paksa diri aku untuk faham. Aku tak minta banyak tapi cukuplah dia berlaku adil. Ada waktu denganku dan ada waktu dengan si dia yang satu lagi.
Hakikatnya, Azril gagal dalam berlaku adil sejak diberitakan tentang kehamilan isteri keduanya. Masaku dicuri. Mahu berjumpa dengannya sebulan sekalipun tiada. Jika dulu aku tak mahu menelefonnya untuk melepaskan rasa rindu, kini telefon atau panggilan video saja yang bisa buat rasa rinduku terubat.
“Dah. Jamak dengan maghrib tadi.” Katanya.
Aku angguk. Faham yang dia baru balik dari bertugas.
“Pergilah mandi.” Kataku menolaknya ke bilik air sekaligus meleraikan pelukan kami.
“Jomlah sekali.” Ajaknya.
“Habislah make up wifey.” Tolakku.
“Tadikan hubby dah tengok. Jomlah.” Dia mendesakku dengan alasan yang sama.
Dia terus menarik aku masuk ke dalam bilik mandi selepas dia menyalin kain basahan untuknya. Habis basah gaunku disimbahnya air.
Selesai mandi dan berpakaian, kami baring. Bercerita pelbagai topik sehingga tanpa sedar, Azril tertidur.
Aku hairan. Azril tidur tanpa sempat membaca doa tidur. Tak melakukan amalan yang dia selalu lakukan sebelum tidur. Tiada ucapan syahadah dan tiada bacaan surah Al-Ikhlas. Azril yang aku kenal, bukan begini gayanya.
Aku tahu. Jika Azril balik dari bertugas, dia akan mudah untuk tidur. Sama juga denganku. Kerana inilah dulu aku bulat untuk berhenti kerja. Bak kata Mak Anjang Midah, kerja kami buatkan kami tiada masa untuk bersama. Ditambah pula dengan perangai Azril yang tak akan membenarkan hubungan intim kami suami isteri terjadi jika salah seorang dari kami penat. Tidak sama sekali. Alasannya mudah. Untuk mengelakkan rasa kecewa.
Jika masa aku bekerja dulu, kadang-kadang, sebulan tak sekali pun kami melakukan hubungan intim. Oleh itu aku tekad, aku perlu berhenti kerja dan berusaha untuk mengandung. Tapi sampai sekarang tak mengandung. Apatah lagi sekarang. Sudah lebih 7 bulan permintaan batinku tidak dilayan. Berjumpa pun seketika sebelum dia terbang ke destinasi yang ditugaskan. Sekadar mampu melepaskan rindu.
Aku senyum kelat memandangnya. Suami yang sudah lama tidak pulang ke rumah ini. Jika pulang pun, beginilah keadaannya. Dia akan tidur. Janjinya kali ini, dia mahu bersamaku sehingga dia berpergian sekali lagi menjalankan tugasnya. Moga-mogaan.
Aku cium disetiap inci wajahnya. Melepaskan rasa rindu. Entah bila bakal ketemu lagi. Aku letakkan tanganku didadanya kemudian meletakkan daguku diatas tanganku. Aku tatap wajahnya. Tanpa sedar, mataku terlelap.
Aku sedar dari tidurku bila rambutku dibelai. Perlahan aku membuka mataku. Aku menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya yang tidak boleh bangun kerana tangan dan kepalaku masih diatasnya dadanya.
“Saya minta maaf buat wifey rindukan saya sampai macam ni sekali.” Katanya dan aku lihat air matanya sudah berada dikelopak matanya.
“No, jangan menangis.” Kataku saat air matanya mengalir.
Aku terus memeluknya. Aku ingin dia kuat. Aku ingin dia tabah.
“Kenapa Allah bagi ujian ini pada kita?” Azril bersuara.
Aku mengucap panjang mendengar pertanyaan Azril itu.
“Hubby, tak boleh cakap macam tu. Setiap apa yang Allah datangkan pada kita pasti bersebab. Hanya mereka yang kuat iman boleh harungi segala macam cabaran. Jangan persoalkan kenapa tapi bersyukur bila diberi ujian.” Aku cuba ingatkan dia akan kata-katanya sendiri. Aku tak mahu dia lupa yang kita ini hamba dan tidak boleh persoalkan apa saja yang diberikan oleh-Nya.
“Terima kasih, wifey.” Ucapnya.
Dia beristighfar. Memohon kemaafan dari Yang Esa akan keterlanjurannya berkata-kata.
“Jom bangun. Kita solat tahajjud.” Kataku bila aku lihat jam sudah pukul 5.15 pagi.
Masih sempat untuk solat sunat tahajjud, taubat dan witir kerana Subuh masuk jam 6.05 pagi. Walau sudah berlalu waktu afdal tapi niat untuk mengadap Ilahi itu lebih penting.
Kami cepat bangun. Cukuplah sekadar beristinjak dan menggosok gigi. Jika mandi, tak sempat nak mendirikan solat sunat .
Ada masa 5 minit lagi sebelum masuk waktu Subuh. Kami sama-sama mengaji. Membaca surah Al-Kahfi. Sekadar cukup 10 ayat sahaja kerana selepas itu, azan ditelefon bimbit kami berbunyi. Kami berhenti mengaji dan memberi laluan azan berkumandang.
Selesai solat sunat fajar dan solat fardu Subuh, kami membaca Al-Matthurat berjemaah. Kami lakukan segala rutin yang kami lakukan bila bersama.
“Seronok dapat berjemaah dengan wifey. Lama tak berjemaah dengan wifey. Maafkan hubby sebab lama tak jadi imam wifey.” Luahnya bila kami selesai menunaikan solat sunat Isyraq. Solat sunat matahari terbit. Sebagai tanda syukur kerana dihidupkan satu hari lagi.
“Tulah. Lama wifey tak berjemaah di rumah. Hubby untung masih boleh berjemaah dengan isteri di sana.” Kataku.
Dia tunduk dan mengeleng.
“Tak sama dia dengan wifey. Dia nampak lembut tapi sangat payah nak dibentuk. Solat fardu pun terpaksa dipaksa.” Luahnya.
“Tak apalah. Perlahan-perlahan tarik dia kepada Allah. Jangan dipaksa. Ingatkan saja. Lagi kita paksa, lagi dia terasa terpaksa. Bukan saja dia lebih jauh dari Allah, rumahtangga pun akan goyah. Sabarlah dalam mengajak ke arah kebaikan. Doa dan terus berdoa.” Nasihatku.
Dia angguk.
“Nak makan apa hari ni? Hubby masak ke wifey masak?” Tanyaku mematikan kesunyian antara kami.
“Nak makan bihun goreng bubuh daging. Ada bahan ke dalam peti sejuk?” Soalnya.
“Ada.” Jawabku sambil tersenyum.
“Maaf, wifey. Hubby abaikan hal dapur.” Katanya.
Aku senyum segaris. Aku usap wajahnya.
Sesuatu yang aku kena lakukan sendiri sejak dia jarang balik ke rumah. Kalau dulu aku tak perlu risaukan barang di dapur walaupun aku sudah berhenti kerja. Segala isi dapur Azril yang uruskan. Kini, aku yang ke pasar membeli lauk. Aku yang kena bersihkan sendiri lauk pauk yang dibeli sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Aku sendiri kena beli barang kering dan mengemaskan sendiri. Segala keperluan di dalam rumah ini, semua aku lakukan sendiri. Dia hanya berikan wang. Itu pun, dimasukkan ke akaun bankku.
“Tak apalah. So, dia nak masak?” Pujukku. Cuba untuk menceriakan suasana.
“Breakfast wifey masak. Tengahari nanti, saya masak.” Putusnya.
“Sempat ke nak masak? Nanti nak ke masjid Solat Jumaat.” Tanyaku. Kebiasaannya jika dia balik ke rumah ini pada hari Jumaat, kami akan makan di luar.
“Insya Allah, sempat. Masak awal. Boleh makan awal. Sempatlah ke masjid.” Katanya.
Aku angguk dan segera turun ke dapur. Aku keluarkan daging dan masukkan ke dalam microwave untuk nyahbeku. Kemudian, aku rendam suku bungkus bihun. Aku rebus cili kering sebelum dikisar kerana pes cili sudah habis. Kemudian, aku kupas bawang besar, bawang putih. Sayur kobis aku potong halus. Udang kering aku tumbuk halus. Siap semua bahan, aku mula menumis. Satu persatu bahan aku masukkan. Sambil masak, aku mengemas dapur.
“Kenapa laptop lama wifey tak ada atas meja. Tinggal laptop baru saja. Tak ada fail wifey pun.” Tanyanya sewaktu aku sedang menghidangkan sarapan kami.
Aku hanya diamkan saja. Dia pun tiada memaksa untuk aku berikan jawapan. Dia sudah duduk di meja makan dan menghirup air milo kosong panas. Begitu berselera Azril menjamah bihun goreng yang aku sediakan.
Aku senyum. Terasa puas hati bila melihatnya menjamah makanan yang aku masak dengan berselera begitu. Bertambah. Rasa dihargai kerana bihun yang aku masak, habis dimakannya. Alhamdulillah.
“Dhuha jom.” Ajaknya usai kami membasuh pinggan dan cawan masing-masing.
Aku angguk dan mengikut langkahnya naik ke bilik. Berwuduk dan solat.
Usai solat sunat Dhuha. Azril turun ke bawah untuk masak makanan tengahari. Aku tak tahu apa yang dia mahu masak. Aku biarkan saja. Aku kemas bilik yang tak sempat dikemas tadi dan kemudian, menyediakan pakaiannya untuk ke masjid nanti. Baju melayunya aku gosok. Sempat juga menggosok tudung untukku. Setelah itu, kain pelikatnya aku teliti. Takut berlubang atau terpalit najis. Setelah berpuas hati, aku letakkannya ke atas katil. Barulah aku mandi.  
Usai mandi dan menyarung seluar slack dan baju blous, aku turun ke bawah. Sempat menjeling jam di dinding. 12.15 tengahari. Aku lihat Azril didapur, sedang menceduk lauk. Kemudian, dia datang ke meja makan dan meletakkan asam pedas daging disebelah ulaman bendi dan timun. Aku menghadiahkan ciuman dipipinya. Aku sangat gembira kerana dia memasakkan makanan kegemaranku.
“Pergilah bersiap. Ini semua nanti, Nita uruskan. Nanti lambat ke masjid. Susah nak parking.” Kataku.
Hakikatnya, Azril memang suka ke masjid awal. Dia tak suka bersesak-sesak atau tergesa-gesa. Katanya, sampai awal boleh rehat sekejap sebelum masuk waktu. Tak penat. Tak tergopoh-gopoh. Tenang.
Selesai mengemas dapur, aku berehat dihadapan televisyen. Fikiran aku melayang. Merancang masa depan. Merangka strategi untuk hidup aku yang seterusnya.
Tiba-tiba terasa sejuk pipiku dengan sentuhan lembut tangan seseorang. Tangan itu memeluk leherku dan sebuah kucupan hinggap di pipiku.
“Mengelamun apa tu?” Tanyanya. Lembut.
Belum sempat aku menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Pelukan dileraikan. Dan segera dia mengambil telefon bimbit yang berada di kocek baju melayunya.
Aku bangun dan berlalu naik ke atas. Memberi ruang untuknya. Aku tahu, aku bakal ditinggalkan sebentar lagi. Aku tahu. Keadaan ini tidak asing lagi antara kami.
“Wifey, saya kena balik rumah nenda.” Beritahunya cemas.
Aku angguk.
“Boleh saya cakap sedikit.” Aku minta kebenarannya untuk berbicara.
“Nanti boleh tak? Kecemasan.” Balasnya.
Aku geleng.
“Saya rasa cukup sampai sini saya susahkan Azril.” Aku tetap juga mengeluarkan sesuatu yang lama tersimpan di dalam benakku.
Dia yang sedang menukar pakaiannya terhenti. Dia memandangku.
Aku senyum kelat. Air mata aku tahan dari mengalir. Belum masa lagi untuk dia mengalir. Aku harap dia akan mengalir saat yang tepat.
“Saya susahkan hati Azril bila terpaksa membahagikan diri antara saya dan dia. Saya susahkan hati Azril sebab perlu menjaga saya dan dia. Saya susahkan Azril bila Azril penuh rasa bersalah bila tak dapat berlaku adil antara saya dan dia. Rasanya cukup sampai sini saya susahkan Azril.” Kataku.
Dia menghampiriku. Dari gayanya, dia ingin memujukku. Ingin membidas kata-kataku.
Aku meletakkan jari telunjukku dibibirku memberi isyarat supaya dia diam.
“Keadaan ini bukan baru ini terjadi. Sudah berkali-kali. Kalau sebelum dia mengandung, Azril mampu berlaku adil. Tapi sekarang? Nanti? Macam mana? Azril sedar tak? Sejak dapat berita yang dia hamil 7 bulan lepas, berapa kali Azril balik rumah ni? Termasuk kali ini, baru empat kali Azril balik. Dan setiap kali balik, keadaan ini pasti berlaku. Azril ada di rumah ni, tak sampai pun 24 jam. Selama tempoh dia mengandung ni, berapa kali kita berjumpa? Itu pun, sekejap saja. Kadang tu, tak sampai sejam. Azril sedar tak?” Kataku.
Dia angguk.
“Tak guna dah Nita dalam hidup Azril. Hanya bebanan yang menyusahkan. Nita tak nak lagi jadi bebanan. Izinkan Nita untuk hidup bebas tanpa rasa bersalah kerana jadi bebanan untuk Azril.” Ucapku.
Saat ini aku harap air mataku mengalir. Tapi ia terlalu degil. Aku mahu ia mengalir agar suami aku faham yang hatiku benar-benar sakit. Tapi keadaan tak memihak kepadaku. Jadinya, aku lap air mata yang berada ditubir. Alang-alang tak nak mengalir, biar tak ada langsung. Biar nampak aku tabah.
“Hadiah ini terlalu besar untuk saya. Ambillah kembali.” Aku meletakkan kunci rumah ini kepadanya. Hadiah yang diberikan kepadaku sebagai tanda terima kasih kerana sudi menjadi isterinya.
“Terima kasih kerana telah menjadikan saya seorang isteri. Terima kasih kerana membahagiakan saya. Terima kasih kerana pernah meletakkan saya di sini.” Aku meletakkan telapak tanganku didadanya. Lama aku pandang tanganku di dadanya. Air mata terbit ditubir.
Kali terakhir aku mampu menyentuh tubuhnya.
“Saya dah tak mampu untuk redha. Saya sudah tidak mampu untuk ikhlaskan setiap apa yang dah berlaku. Saya cuba untuk menyelamatkan awak dari disoal tentang ketidakadilan yang awak lakukan tapi saya rasa saya dah tak mampu lagi nak terus selamatkan awak sedangkan hati saya makin lama makin pedih. Saya pilih untuk bahagia dan bahagia saya bersama awak tapi bila kebahagiaan itu bukan lagi milik saya. Biarlah saya mengundur diri.” Kataku. Aku ingin memulakan langkahku tapi dihalang oleh Azril.
“Wifey, bersabarlah sehingga anak itu lahir. Tak lama saja lagi” Katanya.
“Lepas tu apa? Awak nak ceraikan dia? Habis tu anak awak macam mana? Tergamak awak nak tinggalkan anak awak tu? Tergamak awak nak pisahkan anak dan ibu?” Hampir menengking suaraku saat itu.

Kenapa Azril berubah menjadi lelaki bodoh? Tidakkah dia fikir masa depan apa yang bakal berlaku. Azril tunduk. Air matanya mengalir. Dia terduduk tanpa mampu menahanku dari melangkah pergi meninggalkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan