SUBSCRIBE

Isnin, September 18, 2017

EHPW 30 : AZRIL

Aku masuk ke bilik hotel. Aku lihat Nita sedang tidur. Aku lihat jam di tangan. Baru pukul 3 petang. Tapi Nita enak benar tidur. Nyenyak saja. Pasti sebab kebosanan.
Aku menyelak rambut Nita. Nyenyak sungguh dia tidur. Aku senyum saja melihatnya. Sangat comel dan sangat menawan hatiku. Aku tenung wajahnya. Kulitnya yang kekuningan licin tanpa kesan jerawat. Keningnya tebal ditengah dan makin tirus ke tepi. Umpama dicukur dan dibentuk walhal ianya semulajadi begitu. Bibirnya nipis dan bentuknya kecil. Hidungnya tidak mancung tapi tidak juga penyet. Sedang- sedang. Wajah yang sedang-sedang inilah menggoda hatiku.
“Abah...” Suara lirih Nita mengigau.
Aku senyum. Kelat. Rasa gagal sebagai seorang suami. Nita masih mengharapkan abah untuk dia bercerita dan mengadu nasib. Nita masih juga harapkan abah untuk memberinya nasihat.
Sejak awal perkahwinan kami, aku sedar, Nita akan mengadu apa saja dengan abah walaupun abah sudah menasihatinya untuk buat perkara yang sama kepadaku. Akhirnya, apa yang abah buat adalah dengan menceritakan apa yang Nita ceritakan kepadanya kepadaku. Dan abah suruh aku yang menasihati Nita atau memberi tips bagaimana untuk menangani masalah yang Nita rasa.
Dan setelah tiga tahun abah meninggal, Nita masih mengharapkan abah. Ia ialah sesuatu yang menyediahkan untuk aku sebagai suami. Aku mahu Nita bercerita semuanya denganku. Walaupun Nita sudah janji, tiada rahsia antara kami, tapi aku tahu, ada banyak benda yang dia pendam sendiri. Terutama perkara yang berkaitan dengan nenda.
Demi menjaga hubungan baik aku dengan nenda, dia hanya menceritakan sesuatu yang pada dasar saja. Agar aku tak marah kepada nenda. Isunya, nenda pula akan bercerita terperinci bersama perencah yang buatkan aku marah dengan nenda.
Dalam isu aku, Nita dan nenda, satu perkara yang sangat aku syukuri. Nenda tak pernah memburuk-burukkan Nita. Langsung tak pernah membangkitkan kekurangan Nita. Apatah lagi menabur fitnah. Tak pernah.
Kerana itu juga, rasa hormatku kepada nenda masih tebal. Dan aku sayangkan nenda sama seperti dulu.
Tink!
Bunyi mesej masuk dari telefon bimbit Nita. Aku biarkan. Aku ke bilik air untuk mandi dan membersihkan diri. Terasa penat dengan latihan hari ini. 13 jam melakukan stimulasi. Dan lusa akan disambung dengan stimulasi kecemasan. Sangat memenatkan. Tapi cukup bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh syarikat untuk mengemudi kapal baru.
Usai aku mandi, aku mendirikan solat. Solat aku terganggu saat rakaat yang terakhir disebabkan oleh bunyi mesej yang bertalu-talu masuk ke telefon bimbit Nita. Sehingga aku habis berdoa, masih juga tak henti mesej masuk.
Aku kejutkan Nita.
“Wifey, telefon bunyi tu.” Kataku sambil menghulurkan telefon bimbitnya.
“Biarkan saja.” Balasnya. Telefon yang aku hulurkan diambil dan diletakkannya ditepi. Dia menarikku untuk baring disebelahnya. Memelukku dan menyelesakan tidurnya.
Dengan perlahan, aku mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan ditepinya tadi. Aku ingin mematikan telefon bimbitnya itu. Aku jadi tak tenteram bila telefonnya masih berbunyi. Sudahlah letih. Sangat mengganggu.
Namun, saat terpandang skrin telefon bimbitnya, aku terbaca mesej terakhir yang diterima dari nenda. Aku buka mesej itu. Menceroboh hak peribadinya. Menatal mesej dari nenda dari mula perbualan mereka pada tarikh hari ini. Aku baca satu persatu perbualan mereka. Nenda yang minta Nita untuk bawa aku pulang. Dan Nita menggunakan syarat yang digunakan untuk membenarkan tindakannya.
Aku pandang Nita. Kepalaku menggeleng sebelum mencium ubunnya. Nombor nenda aku dail. Setelah panggilan berjawab, aku memberi salam dan bertanya khabar nenda, ayah dan bonda.
“Nenda, please jangan kacau Nita. Nenda sendiri tahu, saya yang bawa lari Nita. Bukan Nita bawa lari saya.” Lembut aku menyatakan permintaanku.
“Sampai bila Azril nak lari?” Tanya nenda.
“Sampai Nita mengandung. Atau sampai hati saya boleh terima rancangan gila nenda.” Balasku.
“Itu perkara mustahil!” Bantah nenda.
“Tak ada yang mustahil atas muka bumi ini, nenda.” Balasku. Masih lembut. Memujuk.
“Apa pula tak mustahil? Kamu tak akan terima cadangan nenda ini sampai bila-bila. Nita pun tak akan mengandung.” Balas nenda.
“Kenapa Nita tak akan mengandung? Kami normal, nenda. Kami berdua dah pergi check kesuburan. Dan doktor sahkan kami normal. Cuma belum rezeki kami untuk dapat anak. Kami sabar. Nenda tu yang tak nak sabar.” Balasku pula berserta keluhan. Berkerut dahiku cuba menahan suara dari meninggi dan cuba menahan marah dari memuncak.
“Pokoknya, selagi kamu tak balik, selagi itu, nenda akan terus mengacau isteri kamu.” Tegas nenda memberi kata putus.
Dan talian juga turut diputuskan.
“Hubby call siapa?” Tanya Nita dengan suara serak basah.
“Nenda.”
“Abaikan saja. Jangan dilayan. Tumpukan tumpuan hubby pada kursus.”
Aku eratkan pelukan sambil mengangguk mengiyakan nasihatnya.

Betul. Makin dilayan, makin memeningkan kepala. Lebih baik memilih jalan berdiam diri. Lagipun, apa yang nenda boleh buat? Nenda tak tahu pun dimana kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan