SUBSCRIBE

Isnin, Oktober 16, 2017

EHPW 31 : AZRIL

“Alhamdulillah... I love Malaysia.” Kata Nita sebaik keluar dari pintu dewan KLIA sambil menolak troli menuju ke limo yang sedang menunggu kami.
Dia menarik nafas dalam. Menghirup udara di Malaysia ini.
40 hari berada diperantauan. Lebih kurang sebulan aku menjalani latihan. Kemudian, aku bawa Nita pusing-pusing benua Eropah. Menunaikan salah satu dari impian Nita. Berjanji, akan adakan masa untuk bawa Nita Afrika sewaktu umur kami 40 tahun. Itu yang Nita impikan. Dengan izin Allah, akan aku tunaikan satu persatu impiannya.
Limo kereta perdana meluncur sederhana perlahan meninggalkan perkarangan KLIA menuju ke Damansara. Aku pandang Nita yang berada disebelahku. Pandangannya asyik ke luar. Menikmati pemandangan di bumi Malaysia.
Satu berkenaan Nita yang aku rasa pelik. Dia ada impian untuk melancong ke seluruh dunia. Ya, dia nak melancong. Dia tak nak mengambara. Tapi yang peliknya, setiap kali aku bawanya ke luar negara walaupun untuk percutian pendek, bila balik, inilah keadaannya.
Teruja balik ke Malaysia.
“Terima kasih.” Ucapku dan Nita serentak sebaik saja beg terakhir kami keluar dari tempat simpanan kereta perdana itu.
Pemandu itu hanya angguk dan terus masuk ke dalam kereta semula.
Kami bergerak masuk ke perkarangan rumah kami. Berurusan dengan penjaga untuk memastikan identiti kami. Kemudian, kami terus bergerak ke lif dan seterusnya ke rumah kami.
“Seronoknya dapat balik rumah.” Kata Nita. Dia menarik nafas dalam.
Aku halang dia dari menghirup udara di dalam rumah dengan meletakkan tapak tanganku dihidungnya. Aku tak mahu dia menghirup habuk. Nita ada alahan dengan habuk. Sebab tu, jangan tanya kenapa rumah kami sentiasa bersih tanpa habuk.
“Uhuk. Najislah, hubby ni.” Marah Nita.
Aku ketawa bila dia terbatuk. Tersedak.
“Pergi salin baju. Jom kemas rumah.” Arahku sambil mengangkat beg kami ke bilik dobi.
“Apa lagi tercegat” Ujarku bila dia masih memandangku tidak puas hati.
“Sekarang ke? Penatlah...” Katanya dan terus membaringkan dirinya ke atas sofa. Tak sampai sesaat, dia sudah terbersin.
“Rasakan.” Ejekku.
Aku ketawa.
Dia monyok. Menarik muncung sedepa.
Aku abaikan dan terus naik ke atas. Aku mahu mandi dan menukar pakaian. Berfikir sama ada mahu masak atau makan diluar. Nak masak? Takut lauk yang ada dalam peti tu dah rosak. Hampir 2 bulan ditinggalkan. Walaupun peti sejuk berfungsi, tapi kita pun tak tahu apa jadi. Atau mungkin juga bahan basah dah kosong. Sebab aku memang ada pesan pada bonda untuk mengambilnya.
Bila aku keluar dari bilik air, aku lihat cadar sudah bertukar. Bilik yang tadinya berhabuk, sudah licin. Bersih. Aku intai ke bawah, Nita sedang mengelap perabot di ruang tamu.
Aku senyum.
Nita memang rajin mengemas rumah tapi dia tak suka memasak. Dia hanya memasak bila dia teringin nak makan sesuatu. Jika tidak, dia hanya akan goreng telur dan makan dengan nasi. Ataupun, dia akan goreng spegati.
Sebab itu, bila aku ada, aku yang masak. Tak tertelan dek tekak untuk makan nasi dengan telur sahaja. Dan kerana itu, sebelum aku bertugas, aku akan masak makanan untuk dipanaskan oleh Nita bila aku tiada.
Nita bukan tak pandai masak. Cuma dia malas. Kalau paksa dia masak makanan yang tak diidamkannya hari itu, masakannya itu pasti tak jadi. Entah rasa apa-apa tah. Kata Nita, dia masukkan bahan mengikut rasa tekaknya. Dia pun tak tahu sebenarnya resipi untuk masakan itu.
Nita yang pelik.
“Wah! Sedapnya. Pandang saja?” Nita mencekak pinggang memandang aku dari atas.
Aku ketawa halus.
“Hubby dah mandi. Dah bersih.” Balasku.
“Siapa suruh mandi dulu? Dah tahu rumah berhabuk. Bersihkanlah dulu. Entah berapa banyak najis syaitan dah lemparkan ni. Tak reti nak bersihkan rumah dulu? Ha? Ha?” Marah Nita.
Jarang dengar Nita membebel. Aku tak suka dia bebel. Jadi, setiap kali dia mahu mula membebel begini, aku akan cepat buat perkara yang sedang dia bebelkan itu. Dan selalunya dia bebel sebab dia dah penat.
Jadinya, dengan segera juga aku menyarung pakaian dan bergerak turun ke bawah.
Aku terus ke dapur, mengelap meja makan dan kerusi. Kemudian, aku ke dapur basah. Membasuh pinggan mangkuk yang elok tersusun di rak dan susunnya kembali ke situ setelah rak itu aku basuh. Bahan-bahan kering yang sudah tidak elok, aku buang.
Kemudian, aku ke peti sejuk. Tak banyak yang tinggal. Pasti bonda sudah mengambilnya. Mana yang masih tinggal, aku buang. Tiba peti beku, aku lihat yang tinggal cuma sotong dan udang bersaiz kecil. Sotong itu aku buang. Sudah berbau dan tak nampak segar. Udang masih elok. Jadi aku letakkan ke dalam sinki untuk dinyah beku kerana aku fikir untuk masak saja. Terasa malas mahu keluar lagi. Penat. Letih.
Jadi, aku tanak nasi, kisar cili kering. Masak mudah saja dengan bahan yang terhad terutama bahan utama iaitu bawang juga tiada. Udang goreng bercili. Buat berminyak sikit supaya terasa ada sikit berkuah.
Usai masak, aku lihat Nita sedang duduk berehat di sofa sambil tangannya memegang telefon bimbitku. Nita juga aku lihat sudah siap mandi. Rambutnya masih basah.
Aku geleng.
Tabiat Nita yang aku paling tak gemar. Lepas mandi tak reti nak keringkan rambut. Dia suka biarkan rambutnya basah. Aku bukan tak suka. Keadaannya yang begitu, mudah untuk memicu keinginanku. Parahlah. Dahlah Nita suka mandi.
“Wifey, makan.” Pelawaku.
Dia buat tak endah.
“Jomlah makan. Kata tadi lapar.” Pujukku dan sudah bersedia duduk di meja makan.
“Huh!” Dia menjelingku.
“Tak nak makan sudah!” Balasku dan terus  mencedok nasi masuk ke pingganku.
“Punyalah lama masak, ini saja?” Rungutnya.
Aku pandangnya yang sudah duduk disebelahku. Dia mengambil udang dan mencedoknya masuk ke pingganku sebelum dia mencedok nasi ke pinggannya.
“Alhamdulillah.” Kata kami serentak bila nasi sudah habis dari pinggan.
“Kenyangkan walaupun cuma satu lauk saja.” Perliku.
Dia jelingku dan terus berjalan ke ruang tamu.
Aku geleng. Entah apa kena. Aku tak tahu. Selalu lepas makan, dia yang akan kemas. Tengok keadaan sekarang ni, nampaknya, aku jugalah yang kena kemas.
‘Sabarlah, hati.’ Aku memujuk diriku sendiri.
“Malam ni hubby tidur bawah.” Katanya sebaik saja aku melabuhkan punggung disebelahnya.
“Tak boleh naik atas sampai pagi esok.” Sambungnya.
Belum sempat aku membalas, telefon bimbitku berbunyi. Dan belum sempat aku mahu mengambil telefon bimbitku, Nita sudah mengambil panggilan itu. Tanpa salam dan menjawab salam, dia senyum senget.
“Susahnya nak cakap dengan orang tak faham. Ke tak reti baca?” Sinis sekali nadanya.
Aku pandang dia yang sedang ketawa yang dibuat-buat sebaik panggilan dimatikan. Entah kenapa aku rasa Nita cemburu. Pertama kali aku melihat reaksi wajahnya begitu. Dan pertama kali selama 5 tahun, aku rasa Nita rasa tergugat.
Sekali lagi telefon bimbitku berbunyi. Peranti yang sememangnya berada ditangan Nita, dipandangnya. Dia membetulkan duduk dan poster badannya sebelum menjawab.
“Assalamualaikum, nenda.” Lembut suaranya memberi salam.
Aku ketawa sinis.
“Nenda nak apa? Kan saya dah kata, saya tak nak perkara ni kacau saya dan Azril. Sekarang Azril dengan saya. Ini waktu saya dengan dia. Nenda lupa ke perjanjian kita? Nenda nak saya bawa lari Azril selama-lamanya, ke?” Ugut Nita. Lembut.
Nita ketawa.
“Nenda, jangan bersubahat dengan maksiat, please.” Rayu Nita berbisik.
“Nenda cabar saya, ke?” Nita ketawa.
“Hubby, nenda suruh saya larikan awak. Awak nak pergi mana?” Laung Nita ke arah dapur walhal aku didepannya. Berjarak hanya 12 inci antara bahunya dan bahuku.
“Azril kata anywhere as long as we are together.” Nita kembali bercakap dengan nenda.
Aku hampir tergelak. Selamba saja dia kelentong Nenda.
“Nenda jangan buat lawaklah. Saya bukan lahir zaman kuno nak buat nasi kangkang. Saya guna kuasa cinta. Kuasa seorang isteri. Nenda tak tahu ke? Nak saya ajar? Nanti boleh ajar dekat perempuan tu. Cara-cara memikat hati seorang suami bernama Azril Hadi.” Sinis Nita berkata dan disusuli dengan ketawa sinis.
Mungkin nenda mematikan talian bila dia mencampakkan telefon bimbitku ke sofa.
“Ada ke nasi kangkang. Ingat aku tak ada iman ke nak buat macam tu?” Katanya pada dirinya sendiri.
Nita langsung tak pandang aku. Dari tadi. Langsung. Marah sangat ke? Dia marah aku ke? Kenapa aku pula yang dia nak marah?
Sekali lagi telefon aku berbunyi. Aku ambil. Namun, belum sempat aku melihat siapa gerangan yang memanggil, telefonku sudah dirampas.
“Kau tak boleh tengok aku aman ke?” Tanpa salam, Nita terus menyerang. Nadanya tinggi. Tapi tidak sampai menjerit. Dan ia adalah petanda bahawa Nita sedang marah.
Nita marah? Depan aku?
“Penting ke siapa aku?”
“Jangan biadap. Jangan sampai aku buat kau langsung tak boleh jumpa dengan Azril.”
“Apa hak aku nak buat macam tu? Apa kata kau tanya nenda? Oh. Apa kata kau cakap pada nenda macam ni. Ada perempuan tengah meroyan pegang telefon Azril. Dia kirim salam pada nenda. Dia pesan, jangan cabar.” Kata Nita. Sinis. Dia mencampakkan telefon bimbitku sekali lagi.
“Kenapa....” Belum sempat aku utarakan soalan kepada Nita, sekali lagi telefon bimbitku berbunyi. Nita mengambil telefon bimbitku dan menyambungkan talian.
Aku rampas.
“Assalamualaikum, nenda.” Aku diam sebentar. Memberi ruang nenda menjawab salamku.
“Macam mana Azril didik isteri? Kurang ajar dengan nenda.” Adu nenda.
Aku tarik nafas dalam. Aku pandang Nita yang masih tidak memandangku. Pandangannya ke depan. Bersilang tangan. Dengan bibir muncung.
“Maaf, nenda. Minta maaf yang tiada makna. Sekadar mahu minta maaf.” Dan aku terus matikan panggilan itu. Aku turut matikan telefon bimbitku.
“Starting from today onward, urusan nenda, hubby yang akan deal. Wifey better back off.” Itu keputusan mukatamadku.

Selama ini aku biarkan. Aku beri peluang kepada Nita untuk urusakn semuanya sepenuhnya. Itu pun atas permintaannya. Tapi aku rasa cukup. Cukup aku melihat nenda dan Nita bergaduh dan berbalah. Nenda adalah nenek kandungku. Macam mana sakit pun hatinya dengan perbuatanku, dia tak akan pernah buang aku. Aku tahu betapa kasihnya nenda kepadaku. Dan aku tahu, nenda pasti maafkan aku. Jadi, biar aku yang uruskannya. Nita hanya perlu bahagia disamping aku. Titik!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan