Lima bersaudara, Aisyah, Ayush, Damia, Mawar dan Zil, sedang
sibuk memujuk aku untuk bawa mereka pulang ke rumah. Ada yang tolong ambilkan
air. Ada yang duduk bergesel-gesel ditubuhku. Ada yang picit-picit kakiku.
“Dulu masa ibu lang tak ada rumah, tak ada pun korang
sibuk nak ikut ibu lang jumpa ayah lang.” Bidasku.
Dulu sewaktu aku dan Azril berpindah randah, selang
minggu antara rumah mama dan bonda, tak pernah pun mereka kisahkan Azril
walaupun selalu juga aku ajak mereka temankan aku. Sekarang ni, sibuk nak ikut
aku balik rumah kami. Dengan alasan, lama tak jumpa Azril.
Aku cebik.
Macamlah aku tak tahu. Nak jumpa Azril itu cuma alasan
kedua. Yang pertama adalah kerana mereka bebas di rumah kami. Tak ada sesiapa
nak melarang atau memarahi mereka jika mereka bising. Azril sentiasa menangkan
mereka jika aku marah.
“Rumah ibu lang seronok. Lapang.” Jawab Aisyah.
“Macam tu duduk lah rumah atok ni. Besar kan? Korang
boleh main dekat luar. Rumah ibu lang mana ada ruang korang nak main.” Aku
terus memberi alasan.
Aku bukan tak nak mereka ke rumahku tapi aku ingin rehat
berdua saja dengan Azril. Hampir tiga hari aku tak berjumpa dengannya. Baru
malam tadi dia balik. Esok pula aku cuti. Hari ahad. Jadi, aku nak berdua
dengannya.
“Ala, rumah atok penuh barang. Mama ngah tu asyik beli
perabot saja. Lepas tu, tak bagi kami main kat dalam rumah. Asyik kena marah
saja.” Jawab Ayush.
“Ooo, kau kutuk mama ngah, ya? Ibu lang report mama ngah.
Nak?” Ugutku.
“Mana ada kutuk. Menyatakan kebenaran. Mama ngah memang
suka marah kita orang. Macam nenek kebayan.” Balas Mawar, anak arwah Kak Ainul,
kakak sulungku, dengan berani.
“Kau cakap apa, Mawar?” Tanya Zira yang tiba-tiba muncul
di ruang tamu. Wajahnya bengis. Tangannya sudah bercekak di pinggang.
Zira, kakak aku yang kedua ini, memang garang orangnya.
Aku sendiri tak boleh ngam dengan dia. Sebab tu aku tak panggil dia kakak. Masa
arwah Kak Ainul ada, memang kami tubuhkan pakatan untuk kenakan dia. Ditambah
sokongan kuat dari abah. Siapa berani lawan?
“Kalau korang tak nakal, tak adanya mama ngah nak marah.
Tak reti duduk diam. Berlari sana sini. Kalau pecah barang, siapa nak ganti?” Tengking
Zira.
Kesian aku melihat lima bersaudara kaku ditempat mereka
duduk tadi. Tak berani nak angkat muka langsung. Semua takut. Satu persatu
wajah lima bersaudara tu aku pandang.
Aisyah dan Ayush adik beradik. Mereka anak sepupuku, Kak
Azie. Damia juga anak sepupuku, Wanisyah. Manakala, Zil adalah anak jiran
sebelah rumah mama. Zil dijaga oleh mama sejak dalam pantang lagi kerana mak
bapa Zil anak yatim piatu. Tiada siapa nak uruskan mak Zil dalam pantang. Bila
maknya bekerja, mama yang minta untuk memelihara Zil. Oleh itu, Zil sangat
rapat dengan kami sekeluarga dan kami telah meletakkannya sebaris dengan Mawar.
Anak kami.
“Siap cepat. Ibu lang nak balik ni. Pergi ambil baju.
Salam atok dengan mama ngah. Ibu lang tunggu dalam kereta.” Kataku dan terus
berdiri.
Lima bersaudara itu terus berlari masuk ke bilik Mawar
kecuali Zil yang balik ke rumahnya. Mungkin meminta kebenaran mak bapanya. Selalunya
begitulah.
“Mama Ngah belum habis cakap lagi. Korang nak pergi
mana?” Jerit Zira. Namun, tiada siapa yang peduli.
Dia memandangku tajam.
“Kau tu lah perangainya. Manjakan sangat budak-budak ni.
Langsung tak hormat orang tua.” Zira mengalihkan amarahnya kepadaku pula.
“Kau marah macam ni, kau rasa dia orang nak respect pada
kau ke? Kau sedar tak kau buat budak-budak tu takut? Macam ni, bukan buat
dorang hormat kau tapi bencikan kau.” Bidasku dan terus berlalu mencari mama
dan abah untuk memaklumkan mereka bahawa aku ingin beransur pulang dan bawa
budak-budak tu sekali.
“Kirim salam Azril.” Pesan mama.
“Malaslah nak kirim-kirim salam. Takut lupa.” Balasku dan
menyalam tangan dan mencium pipi mama.
“Pesan Azril, datang rumah ni sebelum pergi kerja.” Pesan
abah pula.
“Insya Allah.” Balasku dan terus memeluk abah.
Abah membalas pelukanku dan mencium ubunku. Kebiasaan
antara aku dan abah.
“Elok-elok bawa kereta tu.” Pesan mama sewaktu aku sudah
masuk ke dalam kereta.
“Budak-budak. Tak siap lagi ke?” Laung mama memanggil
lima bersaudara.
Aku lihat mereka keluar dari rumah bersama beg yang
tersangkut dibelakang. Berlari dan berebut untuk bersalam dengan mama dan abah.
Zil yang paling awal tiba, terus duduk disebelahku. Manakala yang lain duduk
dibahagian belakang.
“Bye.” Mereka melambai tangan kepada mama dan abah
sewaktu kereta mulai gerak meninggalkan perkarangan rumah.
“Padan muka kau orang. Lain kali jaga mulut tu. Jangan
cakap main nak lepas saja.” Ejekku sewaktu kereta berhenti di lampu isyarat
merah.
“Mana nak tahu mama ngah dah balik.” Balas Aisyah mempertahankan
adik-adiknya. Dia memang ada perangai yang tu. Suka pertahankan adik-adik yang
lain.
“Tak kiralah mama ngah ada ke tak ke. Jaga percakapan tu.
Jangan main nak cakap ikut sedap mulut saja. Jaga hati dan perasaan orang lain.
Faham?” Bidasku. Aku melembutkan sedikit bila bertanya mereka.
“Faham.” Jawab mereka serentak.
“Dah. Senyum” Kataku dan menayangkan wajahku yang sedang
tersenyum ke belakang.
Mereka senyum dan memelukku.
“Dah. Duduk diam-diam. Ibu lang nak drive.” Kataku bila
lampu isyarat bertukar hijau.
Sebaik sampai saja dirumah, semua sibuk memanggil Azril
dan mencarinya. Mataku turut melilau di setiap sudut rumah mencari Azril. Aku
berjalan ke ruang tamu. Ruang tamu tiada. Ruang yang aku letakkan almari buku
yang terletak dibawah bilik kami juga tiada. Aku berjalan ke dapur. Juga tiada.
Aku mengeluh.
Sejak diubahsuai begini, susah pula jadinya. Aku marah
betul dengan Azril kerana buat rumah ini berlorong. Walhal, masa mula-mula aku
tengok rumah ini, aku sangat sukakannya. Masuk saja dari pintu, dah nampak
ruang tamu dan lapang rasa. Sekarang, masuk ke dalam rumah, sebelah kanan pintu
ke beranda, tempat mendobi, dan sebelah kiri anak tangga ke bilik kami. Tangga
pula dibuatnya lebar. Selebar lorong.
Aku naik ke bilik kami. Mujur Azril bijak. Menutup ruang
agar orang tidak boleh nampak bilik kami dengan jelas dari bawah. Ruang yang
ditutup itu dijadikan bilik persalinan kami. Semua pakaian diletakkan disitu
dan disusun mengikut jenis. Malahan, berasingan antara pakaianku dan
pakaiannya.
Jika dilihat, sebenarnya macam cacat sikit ruang ini.
Ditengah-tengah, ada lubang lima kaki lebar dan dua kaki panjang, iaitu tangga.
Sekelilingnya pula diletakkan penghadang seperti kandang mahkamah. Naik saja
dari tangga, terus nampak bilik air. Antara bilik air dan ruang salin, ada dua
kaki lebar saja. Katil kami pula di sebelah kanan tangga. Ditengah-tengah
bilik. Langsung nampak tak tersusun. Tapi bak kata Azril,
“Kita yang buat dia. boleh saja apa pun.”
Aku hanya mampu mengeleng kepala dengan jawapannya itu.
Sudah dua bulan kami pindah, aku makin boleh terima dengan kejanggalan ini.
“Azril.” Panggilku bila aku lihat dia sedang mengambil
kopiah dari meja solek yang berada di sebelah bilik air.
“Saya berwuduk ni. Nanti batal pula” Katanya bila dia
lihat aku mendekatinya dengan senyuman menggoda.
Dia berundur ke belakang dan aku terus mara. Dengan
sengaja, aku menyentuh tangannya dan segera berlari masuk ke dalam bilik air
sambil ketawa riang.
“Pergilah ambil air sembahyang lagi sekali.” Ejekku bila
sudah berada di dalam bilik air.
“Amboi. Nakal ni. Buka pintu ni. Cepat!” Balasnya sambil mengetuk
pintu bilik air. Dia turut ketawa.
“Azril, budak-budak ada kat bawah. Jaga sikit perangai tu.”
Aku memaklumkan kepadanya. Sedar, Azril tak tahu lima bersaudara itu ada
dirumah.
Aku dengar bunyi
tapak kakinya berjalan turun ke bawah. Aku segera mandi. Usai aku berwuduk,
Azril mengetuk pintu bilik mandi.
“Nita, cepat sikit mandi tu. Budak-budak dah tunggu nak
solat jemaah” Kata Azril.
“Dah siap.” Kataku yang sudah keluar dari bilik mandi
bertuala.
“Amboi, seksinya isteri Azril ni.” Katanya dengan senyuman
nakal.
“Saya dah ambil wuduk. Jangan nak sentuh lagi.” Kataku
yang dah faham maksud senyuman itu. Aku tetap berinya amaran walhal aku tahu,
dia pasti akan membalas balik perbuatan aku tadi.
“Ambil lah wuduk sekali lagi.” Katanya dan terus memukul lenganku
lembut.
“Azril!” Jeritku seraya mengejarnya sehingga dia masuk ke
bilik air.
Aku terus ke bilik persalinan. Sementara nak tunggu dia
ambil wuduk, aku dah siap pakai baju. Tak nak bazir masa terutama bila jam sudah
hampir ke 2.30 petang.
Selepas berwuduk, aku turun ke bawah. Aku lihat semua
jemaah sudah bersedia untuk solat berjemaah. Sejadah semua dah siap. Azril pun
dah duduk di tempat imam merangkap bilal. Siapa lagi nak iqamat kalau bukan
dia. Takkan nak harap budak Ayush atau Zil.
Aku sampai saja dalam kumpulan jemaah, Azril bangun dan
Iqamat. Aku berdiri saja. Tak duduk dah. Dah lambat sangat dah ni nak menghadap
Yang Maha Pencipta.
Selesai solat dan berdoa, aku terus pergi ke depan Azril.
Seperti selalunya, aku dulu yang akan bersalaman dengan ayah lang. Budak-budak
belakang. Dan seperti kebiasaan bila lepas solat, aku akan tunduk salam Azril
dan mencium tangannya. Dia pun akan mencium tanganku semula dan akan
menghadiahkan kucupan di dahi dan hidung.
“Eee... Gelilah ayah lang ni.” Zil menempelak perbuatan
kami.
“Sound fishy.” Kata Azril sambil mengenyit mata padaku.
Aku menahan tawa. Bukan aku tak faham maksud mereka itu.
Sudah hampir 9 bulan aku bernikah dengan Azril. Dan hampir setahun mereka rapat
dengan Azril. Jadi, aku tahu semua cara-cara mereka untuk mendapat perhatian
dari Azril.
“Ayah lang tu nak ngorat ibu lang lah tu. Main-main mata
pula.” Tambah Ayush pula.
“Biarlah. Ayah lang kan suami ibu lang. Biarlah ayah lang
nak ngorat ibu lang. Nak cium ibu lang. Jealous lah tu.” Bidas Aisyah membela
kami.
“Kan, Aisyah.” Balas Azril menyokong kata-kata Aisyah.
“Jealous lah tu.” Kata Damia yang sudah berdiri dan
berjalan menghampiri Azril. Dengan lentok dan manja, dia memeluk leher Azril
dan menjatuhkan tubuhnya.
“Apahal yang mengeletis sangat ni?” Marahku sambil cubit
peha Damia.
“Ibu lang jealous lah tu. Kan, ayah lang?” Dengan meliuk
lentok dia mengataku.
Azril hanya ketawa.
“Bagilah change dekat Damia nak manja dengan ayah lang.
Nanti dah besar dah tak boleh.” Masih dengan lenggok manjanya.
Menyirap darah aku tapi hanya mampu mengalihkan pandangan
ke arah lain terutama bila Azril hanya ketawa. Aku tahu yang Damia cuma
kanak-kanak yang mengekspresikan perasaannya. Lagipun, memang itulah Damia.
Sentiasa manja terlebih. Anak tunggal.
“Janganlah marah, ibu lang. Nak buat macam mana. Ayah
lang ni handsome sangat. Tapi Damia tetap paling sayangkan ibu lang.” Kata
Damia yang sudah melentok manja memeluk leherku.
Aku cuba untuk menanggalkan tangannya di leherku tapi dia
makin menguatkan pelukannya dan terus mencium bibirku.
“Ayah lang kata apa? Bibir tempat khas.” Marah Azril.
Berubah wajahnya kemerahan.
Aku ketawa.
“Jealous.” Ejekku pula.
Dan tak semena budak lelaki memeluk Azril dan yang
perempuan memelukku. Kami ketawa tanpa sebab yang nyata. Yang pasti hati kami
gembira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan