SUBSCRIBE

Khamis, Oktober 19, 2017

EHPW 32 : AZRIL

“Hubby, bolehlah nak makan dekat restoran berputar. Bolehlah.” Rengek Nita sekali lagi sewaktu kami sedang menuruni tangga.
Dari pagi tadi dia merengek untuk makan malam di Menara Kuala Lumpur. Bila aku bawanya pusing-pusing Kuala Lumpur, tiada lagi rengekannya. Namun, ia bersambung bila kami berada di rumah bonda.
“Bukan sedap sangat pun makanan dekat situ. Hubby masak lagi sedap.” Balasku.
“Ala... Nak makan dekat situ. Saja nak lihat panorama malam Kuala Lumpur. Jomlah, hubby. Jomlah. Please.” Rayu Nita. Dia memeluk leherku. Badannya diringankan agar tergantung ditubuhku tanpa meletakkan beban ke kakinya.
Aku memeluk pinggangnya kejat dengan tangan sebelah kanan manakala tangan sebelah kiri memegang pehanya. Dengan ketinggian kami yang sama, keadaan seperti itu hanya akan membahayakan dirinya sendiri. Termasuklah aku.
Tapi ini bukan pertama kali Nita buat aksi begini. Kalau di rumah, lebih kerap.
“Bahayalah, wifey.”
Tanpa menghiraukan kataku, dia mencium bibirku. Dia kemudian menghadiahkan aku sebuah senyuman yang paling aku suka untuk lihat. Senyuman malu. Ya. Dia tahu, aku memang suka bila dia malu. Melihat pipinya yang kemerahan, membuatkan aku rasa mahu gendongnya masuk ke dalam bilik.
Aku tenung matanya.
Dan rasa ingin mengendongnya masuk ke bilik lebih meluap saat ini bila dia membalas renungan mataku. Rasa tercabar itu yang meningkat keinginanku tika ini.
“Kita dinner dekat KL Tower, ya?” Pujukku lagi.
“Erm…” Saja aku buat gaya masih mempertimbangkannya. Sebenarnya, aku memang mahu mengajaknya makan malam di situ. Cuma bila dia mengutarakan keinginannya itu, terasa seperti mahu melihatnya merayu. Dan aku suka bila dia merengek dan merayu.
Bukan senang nak lihat isteri aku merenget dan merayu. Jadi manja begini. Memberi getaran luar biasa bila Nita buat begitu. Maklumlah, Nita seorang yang tegas dan tak pandai untuk merengek dan memanja yang berlebihan. Bila sesekali dia begini, rasa nak meraikan kemenangan diri sendiri.
“Jomlah. As a reward.” Rayunya lagi.
Aku kerut dahi.
“The Best wifey ever.” Katanya. Teruja memuji diri sendiri.
Aku ketawa.
“Hari ni, wifey terlebih manja pula.” Komenku.
Sebenarnya, sejak seminggu yang lalu aku lihat dia begini. Selalu ingin perhatian aku. Selalu ingin berkepit denganku. Dan pantang tersilap sedikit, pasti dia akan merajuk. Walaupun aku suka, tapi tetap juga perasaan pelik itu menjelma. Ini langsung bukan Nita. Sangat pelik.
“Merjuk pula dah.” Usikku bila dia melepaskan rangkulan dan menuruni tangga. Meninggalkan aku.
Aku segera mengikutnya. Melintasinya. Dan merangkul pinggangnya. Matanya aku tenung.
Wajah Nita memerah.
Aku senyum.
Terus dia melarikan pandangan ke tempat lain.
Aku ketawa.
Dia memukul dadaku. Lembut.
“Meh nak lap blusher wifey. Merah sangat.” Usikku seraya mencium kedua belah pipinya.
Ketawaku makin kuat bila melihat pipinya makin memerah.
Nita menyembunyikan wajahnya disebalik dadaku.
Aku memeluknya erat. Isteri aku yang manja hanya denganku. Betapa aku hormatkan dia kerana pandai menjaga kehormatannya. Dia tak perlu cuba buat aku jatuh cinta, tapi dia mencuba sebaik mungkin untuk kekalkan perasaan cinta dalam hatiku.
“Nak pergi Restoran Berputar KL Tower tak?” Tanyaku. Seakan aku yang mencadangkan tempat makan tersebut.
Segera dia mengangkat kepalanya sambil mengangguk. Matanya penuh dengan rasa teruja. Bersinar.
“Kalau nak, cium sini sikit.” Aku menunjukkan dahiku.
Dia menjengkit sedikit untuk mencium dahiku kerana aku dengan sengaja menegakkan badanku dan sedikit kebelakang.
“Sini” Aku menunjukkan kedua belah pipinya.
Nita mencium kedua belah pipiku. Dan kemudian terus ke hidung dan bibirku.
“Astagfirullahalazim, apa korang buat ni? Maksiat!” Satu suara sedang menjerit marah.
Aku dan Nita memandang serentak ke arah suara itu. Kami kemudian berpandangan sesama kami.
Nita senyum. Seolah tak terkesan dengan kehadiran Dura. Dan dia nampak tenang dan bersedia. Langsung tidak dapat aku kesan riak tak senang atau gelisah. Sangat tenang.
Nita melepaskan pelukan kami dan dia segera mendekati bonda. Disalamnya tangan bonda dan diciumnya kedua belah pipi bonda. Manja.
“Kau tak malu ke? Lepas buat maksiat dengan Azril, dengan muka tak bersalah boleh terus cium bonda Azril? memang kau ni jenis tak reti malu ke? Pakai tudung tapi buat maksiat. Baik kau buang tudung kau ni. Jangan nak memalukan orang bertudung dengan perangai puakan kau ni.” Marah Dura.
Aku lihat Dura bergerak mendekati bonda dan Nita yang berada di ruang makan dengan perasaan marah. Aku takut dia akan mengapa-apakan Nita lagi. Cukup sekali dia menampar Nita dihadapanku. Aku sendiri tak pernah pukul isteriku. Suka hati dia nak menampar Nita.
Segera aku turun dan menghalang langkahnya. Jari telunjukku, aku arahkan tepat ke mukanya dan kakiku melangkah ke depan. Memaksa Dura untuk ke belakang. Dan kebetulan nenda masuk ke dalam rumah dan sudah berada dibelakang Dura.
Aku salam nenda dan terus berdiri di belakang nenda. Aku pandang Nita sambil mengangkat kening dua kali. Rasa bangga dapat menyelamatkan Nita dari serangan Dura.
Bonda dan Nita ketawa.
Nenda memusingkan badannya memandangku.
Aku matikan senyum dan buat muka biasa.
Makin kuat bonda dan Nita mentertawakan aku.
“Nenda, tadi Dura nampak perempuan tu cium Azril. Tapi bonda tak tegur pun. Bonda tak marah pun dorang. Hari tu pun sama. Dorang berpelukan. Tak ada sesiapa pun nak marah dorang. Bila Dura tegur, Dura yang kena marah. Ke rumah ni memang tak kisah kalau buat maksiat?” Adu Dura bersama tuduhannya.
Nenda menjeling Dura. Tajam. Nenda kemudian menarik aku untuk duduk disebelahnya. Tangan aku nenda genggam.
“Nenda.” Rengek Dura sambil duduk dan menggoncang lengan nenda.
“Bukan salah Nita. Azril ni yang tak malu.” Kata Nita. Mendekatiku dan segera menghulurkan tangannya kepada nenda. Dengan selamba, dia duduk di atas ribaku sambil memeluk leherku.
“Nenda! Tengok tu!” Rengek Dura.
Dan Nita mencium dahiku, hidungku, pipiku dan bibirku.
“Nenda...”
“Dura pergi balik dulu.” Arah nenda.
“Tak nak. Dura mesti ajar perempuan ni.” Kata Dura dan bersedia untuk menyerang Nita.
Sekali lagi aku menunjukkan telunjukku ke arahnya. Mataku bulat memberinya amaran agar tidak mendekati Nita.
Nita bangun walaupun aku cuba menghalangnya.
“Kenapa kau marah sangat? Suka hati akulah nak buat macam mana pun. Lebih dari tu pun kalau aku nak buat, tak ada siapa boleh halang.” Kata Nita.
“Aku tak tahu kenapa orang dalam rumah ni biarkan korang buat maksiat. Tapi aku akan halang. Aku tak suka melihat maksiat. Tidak terutama dengan Azril. Bakal suami aku.” Balas Dura menekankan perkataan suami.
Aku naik meluat. Baru saja aku mahu membalas, Nita sudah membidas.
“Habis tu yang kau contact Azril setiap hari tu tak maksiat? Bercakap tentang rindu kepada seorang yang tak halal untuk kau tu bukan maksiat?”
“Sekurang-kurangnya aku tak berpelukan dan berciuman macam korang buat. Maksiat yang korang buat, jelas ke arah zina.” Bidas Dura pula.
“Oh. Kiranya rindu dekat lelaki bukan mahram tu, tak menghampiri zina? Ajaran sesat mana kau belajar? Ke sebab nafsu kau buat buta dengan ilmu yang kau ada?” Tengking Nita.
“Nenda...” Dura memandang nenda meminta simpati nenda.
“Aku ingat bila kau dah nampak situasi tadi, otak kau boleh berfikir. Tapi ternyata, otak kau ni slow. Patut semua hal pejabat tak boleh nak buat. Yang kau tahu, menyeleweng duit syarikat saja.” Nita menyerang dengan perkara lain.
Aku kerut dahi.
“Kesian Tuk Kam ada anak macam kau dan Amirul. Sudahlah korang berdua saja anak dia. Siapa sangka, harapkan pegar, pegar makan padi. Harapkan anak-anak untuk kembangkan syarikat, anak-anak yang menghancurkan syarikat dia. Penat-penat Tuk Kam bina empayar, korang berdua senang saja menghancurkan TK Holding.” Sambung Nita.
“Diamlah!” Jerit Dura.
“Apa yang terjerit-jerit ni? Sampai keluar boleh dengar.” Tegur ayah yang baru masuk ke dalam rumah. Nadanya tak puas hati.
Bonda meletakkan jari di bibir sambil melambai ayah untuk duduk disebelahnya di meja makan. Cepat saja ayah berjalan ke arah bonda sambil bertanyakan keadaan ketika itu. Bonda hanya minta ayah diam dan menjadi penonton. Sama seperti aku dan nenda.
“Kau buat apa ya dengan duit tu? Banyak tau. Bukan sikit. Duit tu kalau korang tak ambil, aku dah kira, boleh buat pusing modal untuk 5 ke 7 projek besar. Boleh buat bayar gaji pekerja untuk 3 bulan. Korang buat apa erk dengan duit hasil kerja penat lelah pekerja TK?” Tanya Nita. Kali ini dia berjalan dekat dengan Dura. Mukanya dirapatkan dengan Dura.
Dura memalingkan wajahnya ke arah lain. Aku nampak ketakutan diwajah Dura.
“Kenapa kau nak tahu?” Dalam takut, suara Dura masih lagi tinggi.
“Aku cuma nak tahu, kenapa kau dan abang kau tu sanggup gelapkan duit syarikat sedangkan gaji korang lebih dari cukup. Korang tak ada rumah yang perlu dibayar. Tak ada kereta yang perlu dibayar. Semua syarikat tanggung. Tak ada komitmen langsung. Sama macam kau tak ada komitmen pada kerja. Tahu pehabis duit syarikat saja dengan macam-macam claim yang tak munasabah. Kau buat apa ya dengan duit yang kau ambil tu?” Nita masih memprovok Dura.
“Kau rasa cukup ke dengan gaji RM5,000 sebulan?” Kata Dura.
“Aku anak Datuk Kamarul tapi aku tak boleh pun berbelanja macam anak datuk yang lain. Aku pun nak bergaya sama macam kawan-kawan aku. Beli bag LV. Beli kasut Christian Louboutin. Kau mana faham. Kau tak bergaul dengan orang-orang berada. Kau tak tahu malunya bila kena gelak sebab pakai sekadar Gucci.” Kata Dura bersama linangan air mata.
Itulah yang aku paling tak faham dengan perempuan. Alhamdulillah, perempuan yang aku nikahi lain. Beg duit pun sekadar hiasan. Apatah lagi bag tangan. Dia hanya akan bawa jika pergi ke majlis formal. Itu pun kadang-kadang dia tak bawa. Semak katanya.
Tempat dia letak kad pengenalan, lesen dan kad bank adalah di dalam kocek bekas telefon bimbitnya. Itu pun kad bank, satu saja. Kad yang lain, disorokkan entah di mana. Dia sendiri pun tak ingat. Dan memang itu tujuannya.
“Kau ni, kesianlah. Kau tak belajar ke apa tu menyimpan? Kau tahu ya maksud simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit?” Sangkal Nita.
Dia ketawa. Dan nampak sangat dibuat-buat.
“Kalau menyimpan, bila nak dapat? Orang lain dah pakai design baru, aku baru nak pakai design yang dah lapok.” Bidas Dura.
“Erm... Logik juga. Nanti apa kata kawan-kawan kau, kan? Erm... Nenda, kalau Dura nikah dengan Azril, bila design baru keluar, apa jadi erk?” Nita bertanya kepada nenda.
Nenda diam.
“Kesian Azril. Sekarang ni pun duit gaji dia, RM7,000 dah bayar duit rumah. RM10,000 dah guna untuk perbelanjaan dia sebulan. RM2,000 komitmen untuk fixed deposit. Berapa saja tinggal. Perh... Pening kepala Azril nak adjust permintaan isteri dia yang high class ni.” Kata Nita sambil berfikir. Matanya dipandang ke dinding, gaya mencongak. Tangannya disilangkan manakala jari telunjuk sebelah kanannya diketuk-ketuk dagunya.
Aku turut mencongak.
Tiga buah rumah milikku itu, dibeli oleh Nita. Sebuah rumah teres kos sederhana, sebuah kondominium mewah dan sebuah rumah pangsapuri kos sederhana. Semuanya Nita buat sewa.
Manakala, rumah yang kami beli di Jerman adalah rumah yang diduduki oleh Zahran sekarang. Dan setiap bulan, Zahran akan membayar duit sewa kepada kami. Dan sebuah lagi adalah di kawasan berhampiran tempat kediaman Zahran. Rumah itu Nita buat seperti homestay.
Aset kami diluar negara adalah aset bersama. Dan dibeli tanpa pinjaman. Entah mana muncul duit beratus ribu dari akuan aku dan dia. Selama tiga tahun dia menguruskan wangku, dengan keadaan dia tidak bekerja dan cuma meniaga dari rumah, tapi dia mampu mengumpul wang sebanyak itu. Sangat menerujakan.
“Nenda, kalau Azril tak cukup duit nak penuhi permintaan Dura, dia minta duit kat siapa, ya?” Nita menyoal nenda.
Nenda diam.
“Nenda, katalah. Ini katalah kan. Azril pening kepala nak dengar rengekan isteri dia. Duit dia pula tak cukup nak penuhi permintaan Dura. Nak pinjam dekat nenda pun, dah segan sebab hutang lama pun belum bayar. Agak-agaknya, selamat tak tanah yang nenda bagi kat Azril tu?” Nita terus menerus menyoal nenda.
Nenda masih diam.
“Tapi takkan kot. Itu tanah pusaka. Takkan Azril nak buat macam tu, kan? Lagipun, hasil jualan kambing dan lembu yang diusahakan dekat tanah tu yang menampung perbelanjaan Azril sekarang. Takkanlah dia nak jual, kan? Nenda?” Kata Nita memusing fakta.
“Tapi siapa sanggup dengar isteri merengek. Kalau sekali sekala, tahanlah. Buatnya setiap hari? Setiap masa? Runsing kepala.” Sambung Nita bila nenda tetap diam.
“Ini bukan doa. Tapi semua manusia pun akan mati. Katalah, nenda mati dulu. Azril yang akan warisi semua harta nenda, kan? Berapa banyak tu? Kalau setahun LV keluarkan 10 design terbaru. Anggaran sebuah RM25,000. Setahun, RM250,000. Berapa banyak tanah nenda kena gadai tu?” Kata Nita.
Aku mula faham. Nita sedang memanipulasi fakta.
Mulanya aku tak suka bila Nita membuka aib Dura. Namun, aku diamkan saja. Terutama bila bonda dan ayah sangat berminat dengan isu ini. Nenda pun, langsung tak berkutik. Tapi kini baru aku faham. Kenapa Nita mempersoalkan isu itu di sini. Sangat bukan Nita untuk membawa urusan kerja ke rumah. Tapi ini adalah kesempatan untuk membuat nenda menukar fikiran.
“Kalau saya jadi nenda, saya fikirkan semula.” Kata Nita dan berjalan mendekati bonda dan ayah. Dia turut duduk di meja makan.
Nenda bangun dan mula mengatur langkah. Baru langkah pertama, Dura sudah menahan.
“Kenapa semua orang diam bila perempuan tu buat maksiat dengan Azril. Nenda pun diamkan saja. Langsung tidak rasa berdosa bersubahat dengan dorang. Bila perempuan tu hina Dura, tak ada sesiapa pun nak membela. Semua dengar saja. Macam ni ke family? Family yang biarkan semua benda berlaku?” Kata Dura. Suaranya serak. Air matanya mengalir.
“Sepatutnya keluarga mempertahankan keluarga. Bukan biarkan saja. Dura tak nak keluarga macam ni.” Katanya.
“Dura tak nak. Tak apa. Lebih senang.” Balasku.
“Azril.” Tegur nenda. Lembut.
“Ini pun sudah kira menghina, nenda.” Balasku.
Nenda memandangku. Lembut saja.
“Dura, macam ni lah. Dura balik. Dura fikir dalam-dalam. Dan bertaubat. Nenda naik dulu.” Putus nenda dan terus menolak tangan Dura yang memegangnya.
Aku menghantar nenda naik ke atas dengan pandangan mata. Setiap langkah yang nenda ambil untuk mendaki tangga, aku pandang teliti.
“Dura tekad. Dura akan ubah keluarga ni.” Kata Dura sebelum keluar.
Aku, nenda, ayah, bonda dan Nita saling berpandangan. Rasa pelik.

‘Apa yang Dura nak ubah?’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan